Sunday, November 8, 2015

Fenomena kefahaman Islam di Malaysia

Di Malaysia, fenomena menunjukkan kebanyakan orang Islam tidak mempunyai kefahaman yang tepat tentang Islam. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan mereka melihat Islam adalah agama yang mengajak penganutnya mendirikan sembahyang dan puasa, dan bagi orang yang berada mesti membayar zakat dan menunaikan haji, itu sahaja. Bukti ini diperkuat lagi dengan konten ceramah-ceramah yang kita dengar melalui media elektronik mahupun di masjid-masjid dan surau-surau yang biasanya lebih tertumpu kepada sah atau batal, yang boleh dan tidak boleh, yang makruh dan sunat, adab-adab dan sebagainya setiap kali mengajar ilmu fiqh.
Kesan dari keadaan ini menyebabkan mereka hanya mendirikan sembahyang, dan selepas itu mereka rasa tidak ada apa-apa lagi yang berkaitan dengan sembahyang, dan bila tiba bulan Ramadan mereka akan berpuasa, cukup sebulan akan menyambut hari raya, dan selepas itu sama juga keadaannya, mereka fikir tiada apa-apa lagi yang berkaitan dengan puasanya. Begitu juga halnya bagi orang yang membayar zakat (zakat fitrah dan zakat harta) setelah melunaskannya mereka rasa tidak adalah lagi yang harus dilakukan berkaitan dengan zakatnya; bagi ibadah haji pula, sekembalinya ke tanahair, sudah tidak ada apa-apa yang berkaitan dengan ibadah hajinya.
Begitulah secara ringkas gambaran tentang Islam bagi kebanyakan orang Islam di negara ini – mereka akan merasa berpuas hati dengan amalan seperti yang digambarkan itu, maka itulah yang diamalkan dari mula tarikh balighnya hingga ke usia tua; dan inilah yang berlaku sejak sekian lama; tidak banyak perubahan yang ketara yang dapat dilihat dari satu generasi ke generasi berikutnya. Ini menggambarkan seolah-olah ada bahagian-bahagian fiqh yang ditinggalkan, saya katakan demikian kerana Gamal Eldin Attia dalam bukunya ada menyebut,
‘Whoever investigate the theme of maqasid will note that what was written on this subject by scholars who came after al-Shatibi was limited either to summarizig or rearranging what al-Shatibi had already formulated’. (Towards Realization of The Higher Intents of Islamic Law, 1)
Bagi al-Shatibi, fiqh kita harus mencakupi tiga bidang iaitu satu, yang disebut oleh nas iaitu al-Quran dan Hadis secara eksplisit, dua, ijma’ iaitu kefahaman para ulama’ iktibar mengenai sesuatu nas, dan tiga, qias iaitu menggunakan sesuatu hukum kepada suatu keadaan yang sama situasinya. Bacalah buku tersebut di atas ini.
Bagi mereka tidak ada istilah Islam sebagai jalan hidup atau cara hidup. Lalu, cara hidupnya banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai kebudayaan setempat, dan jika terlihat sedikit sebanyak nilai-nilai Islam di dalamnya ianya bukanlah kerana kefahamannya bahawa itu adalah jalan hidup Islam.
Kefahaman yang tidak tepat tentang Islam itu menyebabkan mereka menjalani hidup mengikut nalurinya, kalau adapun yang Islamik ianya adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Mereka tidak nampak sama sekali bahawa ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji itu sebagai satu proses pendidikan etika, akhlak dan keperibadian yang menjadi pedoman hidup dalam melakukan aktivit hariannya.
Kefahaman yang tidak tepat tentang Islam menyebabkan ramai orang melakukan ibadah yang dapat mengumpul pahala sebanyak mungkin: mengerjakan haji dan umrah berkali-kali, melakukn ibadah korban entah sudah berapa puluh kali, mendirikan sembahyang sebanyak dan sebaik mungkin, tidak cukup dengan sembahyang yang lima waktu itu ditambah pula dengan sembahyang-sembahyang yang dalam rangkaiannya seperti sembahyang tahajud, sembahyang hajat, dan bermacam-macam lagi sembahyang; banyak duduk di masjid atau surau sahaja, menghulur sedekah dan sedekah tanpa memikirkan apakah betul apa yang dilakukannya kerana yang penting ialah mengumpul pahala.
Kefahaman yang tidak tepat tentang Islam menyebabkan ramai orang tidak banyak melakukan ibadah-ibadah yang umum yang berkaitan dengan manusia lain dan makhluk serta alam sekitarannya. Bagi mereka kesemua ini adalah bukan urusannya. Justeru ibadah sembahyangnya tidak menjadi pedoman dalam perjalanan hidupnya, semangat ibadah puasanya sudah tidak kelihatan lagi, misalnya sudah tidak kelihatan lagi aktiviti memberi makanan kepada jiran dan sebagainya, percakapan juga sudah tidak terkawal, begitu juga zakat dan hajinya.

Wasatiyah
Kefahaman yang tepat tentang Islam akan memperlihatkan sifat-sifat wasatiyah seseorang. Mengikut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi wasatiyah bermaksud kesederhanaan. Kesederhanaan selalunya menggambarkan pertengahan, tidak keterlaluan atau sebaliknya. Beliau menggunakannya dengan maksud seimbang (tawazun): iaitu berada antara dua pihak atau keadaan yang bercanggah atau bertentangan, tidak condong kepada salah satunya, malah dijelaskan lebih lanjut katanya, Tidak dikuasai oleh satu pihak lalu disingkirkan pihan yang berlawanan dengannya, tidak mengambil dari satu pihak secara berlebihan lalu meminggirkan pihak yang bertentangan dengannya. Untuk lebih jelas lagi beliau menyenaraikan beberapa perkara dalam bentuk pasangan dua perkara yang bertentangan sebagai contoh:
·      Ketuhanan dan kemanusiaan
·      Kerohanian dan kebendaan
·      Ukhrawi dan duniawi
·      Wahyu dan akal
·      Peninggalan silam dan masa hadapan
·      Individu dan masyarakat
·      Realiti dan keunggulan
·      Tsabat (tetap) dan berubah
Jadi mengikut beliau, orang yang wasatiyah (kesederhanaan) akan memberikan hak kepada setiap pihak dengan sebenar-benarnya, penuh adil dan secukupnya, seperti yang disebut sebagai qisth dalam ayat 35 surah al-Isra’, dengan kata lain sebagai contoh dia akan melakukan amalan yang berkait dengan soal-soal ketuhanan sama banyak dengan soal-soal kemanusiaan, tidak melebihkan yang satu berbanding yang lain.
Orang-orang yang tidak menyedari kedudukan wasatiyah menyebabkan amalan-amalan dalam kehidupannya condong kepada sebelah pihak: lebih kepada ketuhanan, terkurang dalam hal-hal kemanusiaan. Ini menyebabkan misalnya seorang isteri yang sudah berusia menggunakan masanya untuk mengaji, mendirikan sembahyang sunat, mendengar ceramah dan seumpamanya sehingga tanggungjawab terhadap suaminya terabai.

Fiqh keutamaan
Membuat pertimbangan merupakan satu kemahiran bagi setiap orang kerana setiap orang tidak boleh lari dari membuat pertimbangan seperti yang mana patut didahulukan dan yang mana patut dikemudiankan, dan dalam senarai tindakan pula perkara mana yang sewajarnya diletakkan sebagai prioriti dan yang mana yang patut diletakkan pada urutan terakhir. Persoalan ini adalah sangat penting kerana zaman sekarang menunjukkan fenomena bahawa orang-orang Islam sudah kehilangan kemahiran membuat pertimbangan.
Kata beliau, Bisyr al-Hafi pernah mengatakan Kalau kaum muslimin mahu memahami serta memiliki keimanan yang sebenar, dan mengetahui makna kefahaman terhadap pekerjaan yang perlu diutamakan, maka dia akan merasakan kebahagiaan yang lebih besar dan suasana keharmonian yang lebih kuat, setiap kali dia dapat mengalihkan dana ibadah haji itu untuk memelihara anak-anak yatim, memberi makan mereka yang kelaparan, memberi tempat perlindungan orang-orang yang terlantar, mengubati mereka yang sakit, mendidik orang-orang yang lemah bidang pelajarannya, atau memberi peluang pekerjaan kepada para penganggur. (Fiqh Keutamaan, 19)
Petikan di atas ini hendak menyatakan bahawa melakukan ibadah-ibadah umum seperti yang disenaraikan itu lebih penting daripada menunaikan ibadah haji, yang bermaksud perlu diutamakan. 
Di bahagian lain buku yang sama tercatat, Antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan, sehingga kita dapat mewujudkan tujuan tersebut, dan tidak memaksa diri kita dan juga orang lain untuk melakukan sesuatu yang tidak berkaitan dengan tujuan syariat.
Petikan ini bermaksud bahawa mengambil tahu atau mempelajari tujuan beban kewajipan iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji itu lebih utama dan patut didahulukan berbanding dengan menyebokkan diri dengan perkara-perkara lain.
Demikian dua contoh yang disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dalam bukunya Fiqh Keutamaan, beliau membicarakan panjang lebar tentang memberi keutamaan jika kita bertemu dengan dua perkara pada satu-satu masa; antara keadaan-keadaan lain yang dibicarakan ialah membuat pertimbangan antara mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, keutamaan ilmu berbanding dengan amalan, keutamaan antara dua perkara yang wajib, keutamaan terhadap dua perkara yang diperintahkan, dan lain-lain. Buku ini bertujuan untuk membetulkan sikap kita yang dikatakan sudah kehilangan kemahiran membuat pertimbangan.
Kefahaman yang tepat tentang Islam akan dapat mengembalikan kemahiran kita dalam membuat pertimbangan yang dimaksudkan itu supaya kita tidak melakukan sesuatu yang kurang penting mendahului yang lebih penting. Kefahaman yang tidak tepat kepada Islam akan membawa kepada gejala hilangnya pertimbangan dalam memberikan penilaian terhadap sesuatu perkara, pemikiran dan perbuatan.

Wednesday, December 31, 2014

Daulat Tuanku

Tidak dinafikan ramai antara kita yang melihat istilah Rukun Islam sebagai amalan yang cukup jika didirikan zatnya sahaja; bermaksud misalnya sembahyang, hanya dilihat sebagai amalan mendirikannya dengan menyempurnakan rukun-rukunnya yang tiga belas itu. Selepas salam tiada apa-apa lagi yang harus dilakukan, tiada kaitannya dengan soal-soal kehidupan. Begitu juga yang terjadi kepada ibadah zakat, puasa dan haji itu.
Apabila disebut Rukun Negara sebenarnya berapa ramai yang memahami konsepnya dan peranannya dalam kehidupan sebagai seorang warga bagi sesebuah negara itu. Istilah itu dilihat hanya sekadar slogan yang harus dihafal semata-mata. Akibatnya semangatnya dan matlamatnya tidak ke mana - slogan itu hanya tinggal slogan yang kosong tidak memberi sebarang erti. Begitulah juga apa yang terjadi kepada Rukun Islam. 
Buktinya, sembahyang itu tidak memberi kesan terhadap diri pengamalnya, yang sepatutnya semangat ibadah sembahyang itu adalah yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian kita. Jadi istilah Rukun Islam yang sepatutnya menjadi tonggak kehidupan, tidak menjadi realiti.
Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang kelihatannya sebagai kaki sembahyang, apakah kesan daripada rukun feeli berdiri dalam sembahyang, tidak lain selain untuk menjadikan ibadah sembahyangnya sah sahaja.
Dalam Kamus Dewan rukun diberi makna dasar, tiang, asas, sendi. Jika disebut rukun Islam diberi makna dasar atau tiang agama Islam. Jadi jika Islam itu dilihat sebagai agama maka asasnya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji itu.
Islam adalah jalan hidup, dengan kata lain jika Allah swt menghendaki kita memeluk agama Islam bermaksud bahawa kita harus menjalani hidup di dunia ini mengikut peraturan dan etika Islam, yang asasnya atau dasarnya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, yang kita panggil rukun Islam itu. Jadi rukun Islam itu iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah asas untuk membina peraturan dan etika hidup kita. Jadi peraturan dan etika untuk aktiviti-aktiviti seperti gaya hidup, berpolitik, berniaga, bermasyarakat, bersukan, lalulintas, bersantai dan sebagainya harus dibina berdasarkan kepada sembahyang, zakat, puasa dan haji. Inilah konsep Rukun Islam.
Jadi tidaklah betul jika ibadah-ibadah yang empat itu hanya sekadar didirikan zatnya sahaja - ibadah-ibadah itu harus menjadi tonggak kehidupan seharian.