Ketika Allah hendak menjadikan manusia sebagai khalifah
di bumi, malaikat bertanya apakah Engkau hendak menjadikan orang yang membuat
bencana dan berbunuh-bunuhan sebagai khalifah bumi, Allah berfirman, Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqrah, 30).
Ayat ini menunjukkan kegusaran malaikat jika manusia
dijadikan khalifah di bumi, kerana sifatnya cenderung kepada membuat bencana
dan berbunuh-bunuhan. Namun respond Allah itu pula menunjukkan ada rahsia tentang
manusia yang Allah hendak jadikan tetapi malaikat tidak mengetahuinya.
Kegusaran malaikat adalah kerana antara sifat-sifat
manusia itu seperti yang tersurat dalam
ayat-ayat al-Quran, antaranya ayat 27 al-Baqarah, manusia sebagai
makhluk yang akan membuat bencana dan berbunuh-bunuhan. Bagi malaikat
sifat-sifat ini tidak melayakkan manusia menjadi khalifah. Ya, jelas itu adalah
sifat perosak, yang bertentangan sama sekali dengan tujuan membina kerajaan
Allah di bumi.
Namun, jawapan balas Allah dalam ayat itu
menunjukkan malaikat tidak mengetahui kriteria-kriteria
seseorang khalifah. Apakah hikmahnya sifat berbuat bencana dan
berbunuhan itu bagi seorang khalifah, atau apakah rahsia yang lain lagi di
sebalik sifat-sifat makhluk perosak ini (manusia).
Dalam diri
manusia ada sifat kemalaikatan dan sifat kehaiwanan. Apakah rahsia Allah
mencipta manusia yang mempunyai dua personaliti ini? Apakah sifat-sifat ini
memang kriteria penting bagi seseorang khalifah bumi.
Jawapannya, Ya, kekhalifahan menghendaki makhluk yang
mempunyai sifat-sifat yang berlainan dengan malaikat dan kehaiwanan. Justeru
Allah swt hendak mencipta sejenis makhluk yang mempunyai kedua-dua sifat
tersebut. Lalu Allah mencipta manusia sebagai makhluk yang mempunyai sifat-sifat kemalaikatan dan sifat-sifat
kebinatangan. Namun, kedua-dua unsur sifat
ini diadun dalam bentuknya yang unik, bagi meletakkan manusia yang
sifat-sifatnya tidak terlalu mirip kemalaikatan maupun kehaiwanan. Dengan kata
lain manusia adalah makhluk yang mempunyai sifat-sifat di antara keduanya.
Lihatlah apakah penjelasan selanjutnya mengikut buku berkenaan.
Diringkaskan bahawa sifat-sifat manusia itu mampu membina
hubungan intim dengan Pencipta dan pada masa yang sama membina
hubungan dengan makhluk yang bersifat keinsanan.
Jadi jelas bahawa Allah memang menghendaki sifat-sifat ini untuk menjadi
khalifah. Dengan sifat-sifat yang ada dalam diri manusia itu manusia boleh
membangun dirinya dengan sifat-sifat kemalaikatan, tetapi malaikat tidak
mempunyai kemampuan membina sifat kemanusiaan. Justeru Allah mencipta manusia
yang mempunyai sifat-sifat kemalaikatan, kemanusiaan dan kehaiwanan.
Dengan sifat-sifat kemalaikatan, manusia mempunyai hidayah akal budi, hidayah agama, dan hidayah
at-Taufiqi. Dengan anugerah yang inilah maka manusia mempunyai sifat-sifat suci
murni seperti kemuliaan, kebebasan dan maruah, murah hati dan belas kasihan,
baik hati dan belas kasihan, kesabaran dan kesucian, iaitu sifat harga diri atau sifat yang menunjukkan nilai-nilai perikemanusiaan.
Inilah yang tidak diketahui oleh malaikat yang disebut oleh ayat di atas
tadi, dan inilah sifat-sifat yang harus ada bagi seseorang khalifah.
Allah jua Yang Maha
Mengetahui bahawa dalam kehidupan fizikal dunia, manusia menghendaki
kualiti-kualiti penting seperti perasaan,
dorongan kelaparan, mencintai ketenteraman, kemahuan seks, sifat ingin tahu dan kreativiti, dan lebih jauh lagi ialah kemampuan untuk membina
perdagangan dan perusahaan, dan keinginan kepada kepelbagaian dan perubahan
sebagai sebahagian daripada asal kejadiannya. Kesemuanya ini
tidak ada dalam diri malaikat. Allah menjadikan malaikat hanya sebagai makhluk
yang sentiasa tunduk patuh dan menyembahkan diri kepada Pencipta-nya. Dengan
asal kejadiannya ini bagaimana hendak menjadi khalifah kepada kehidupan fizikal
makhluk yang ada sifat-sifat kehaiwanan.
Sifat-sifat di atas ini menjadikan manusia sebagai
makhluk yang terbina daripada jasmani dan rohani.
Rohaninya
cuba mengekalkan keadaan kejadiannya yang
suci tanpa dosa, mengingatkan tujuannya dijadikan, dan memandu jalan hidupnya
yang betul. Rohaninya juga mengajak
manusia melihat kecantikan dan kemewahan dunia samawi, dan memberikan inspirasi memprotes kebobrokan dan materialistik. Pendek kata hasratnya amat
tinggi untuk melepaskan manusia dari kurungan yang memenjara jiwanya.
Rohani manusia juga sering mengajak untuk memperuntukkan sedikit masa dari kehidupannya yang monotoni
seperti makan-minum, sebaliknya mengajak mencari kepuasan yang lain.
Jasmani
manusia pula menariknya ke arah sumber kejadiannya iaitu tanah. Sifatnya
cenderung kepada kejahatan dan kejelekan. Ayat 26 al-Hijr menyebut bahawa
manusia (Adam) dijadikan dari tanah liat
kering yang berasal dari tanah kental
yang berubah warna dan baunya. Ayat ini cuba menggambarkan sifat-sifat negatif
tentang tanah itu.
Maknanya sifat-sifat tanah liat yang kering, yang
berubah-ubah warnanya itu menjadikan manusia makhluk yang sifat-sifatnya sering berbolak-balik, dan yang paling jelas
sentiasa tertambat dengan sifat-sifat kehaiwanan. Hidayah akal budi dan
hidayah-hidayah yang lain-lain itu sering menghadapi cabaran yang cuba
mengalihkan tujuan hidupnya yang asal dan destinasinya.
Jadi, kelihatannya
dalam diri manusia ada dua unsur yang kecende-rungannya saling
bertentangan. Apakah natijahnya? Ketahuilah, agar menjadi pendorong ibadah
puasa yang lebih sempurna, tidak bertentangan dengan ayat 12 surah Muhammad.
Apakah kesannya kepada kehidupan manusia?
Dengan sifat-sifat kehaiwanan inilah cara hidup manusia
dalam situasi pergelutan antara jasmani dan rohani, bergelut dengan
usaha mencari polisi dan falsafah bagi menentukan cara hidup. Bacalah, akibatnya.
Islam telah menggariskan cara hidup yang komprehensif dan
universal, yang berpegang kepada nilai-nilai moral dan emosi semulajadi. Inilah asas-asas kezahidan
kehidupan, yang sekali gus membuang pride kemewahannya. Malangnya
sebahagian manusia termasuk umat Islam sendiri melihatnya secara berlebihan
sehingga mencetus idea membawa dirinya terasing dari kehidupan bermasyarakat.
Walhal bukan ini yang dikehendaki oleh agama (Islam) kerana ayat 27 al-Hadid
telah menyebut, dan perbuatan mereka
beribadat secara Rohbaniyah, mereka sahaja yang mengadakan dan mencipta, Kami
tidak mewajibkannya. Peribadatan
Rabbaniyah mereka melahirkan bentuk
peribadatan yang terlalu condong kepada keTuhanan. Allah tidak
mewajibkan manusia beribadat sedemikian rupa, tetapi tidak dinafikan memang ada
golongan yang mengada-adakannya sedemikian.
Puasa
adalah penyelamat. Puasa menyelamatkan manusia dari serangan kebendaan, dan membebas manusia dari dominasi kehaiwanan yang
membelenggunya. Sejarah kerasulan menunjukkan para rasul diutus untuk menabur
benih-benih kemoralan dan kerohanian, mengajak
manusia kembali kepada realiti tujuan kejadiannya, yang disimpulkan kepada tiga
perkataan iaitu ibadah, kesalihan dan khilafah. Ketiga-tiganya ini tidak dapat dicapai dengan menerapkan
unsur kerohanian malaikat apalagi kehaiwanan. Satu-satunya jalan ialah
menjalani rutin tahunan iaitu berpuasa
sebulan dalam bulan Ramadan. Ibadah puasa diatur bagi meredakan keghairahan itu
tadi, dan menggantikanya dengan sebanyak mungkin nilai-nilai tunduk patuh dan kerohanian.
Tujuan ibadah puasa: Objektif ibadah puasa adalah untuk menanamkan sifat Samadiyyah Ilahi, iaitu bebas dari desakan kemahuan. Ini bererti samadiyyah bagi manusia adalah yang
berada antara kemahuan malaikat dengan haiwan,
yang cirinya mengawal desakan kemahuan.
Malaikat adalah makhluk yang tidak mempunyai
kemahuan, manakala kemahuan haiwan pula
melampaui batas. Walaupun manusia dibekali dengan kuasa melawan nafsu
makan, malangnya kuasa ini selalunya tunduk kepada desakannya. Jadi manusia terpaksa
bekerja keras bagi mengimbanginya bagi meraih sifat-sifat samadiyyah itu tadi. Caranya ialah melalui proses berpuasa.
Ibadah puasa bertujuan membebaskan diri
manusia dari cengka-man kemahuan (nafsu) supaya dapat meletakkan dirinya dalam
situasi kesederhanaan antara
kemalaikatan dan kehaiwanan. Dengan kebebasan
yang dicapainya ini diharapkan seseorang itu
akan menyedari matlamat penyucian dan kesejahteraannya. Jadi tujuan
ibadah puasa ialah mengawal kemahuan dan nafsunya melalui latihan menahan lapar
dan dahaga, serta perkara-perkara yang membatalkan. Kelihatannya berpuasa
adalah sebagai obat penawar bagi
penyakit hambatan nafsu.
Hakikat ibadah puasa: Dalam al-Quran menyebut antaranya yang paling popular ialah Hai
orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagai-mana diwajibkan
atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. Ayat ini menggambarkan
bahawa antara yang akan dilihat oleh Allah ialah ketakwaannya. Sedikit
sebanyak anda sudah mempunyai pengetahuan tentang takwa. Apakah kepentingan
takwa? Persoalan ini sedemikian juga kedudukannya. Cuma barangkali sukar untuk anda
menjawab apabila ditanya cara menyemaknya. Buku ini menggariskan 5 kriteria
menyemaknya:
1. Hidupnya kerana Allah,
2. Menjalankan perintah dan menjauhi larangan,
3. Manhaj (kaedah) melakukan,
4. Natijah perlakuan, dan
5. Tidak meninggalkan perkara-perkara fardu ain.
Matlamat ibadah puasa: Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menulis
dalam bukunya, Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum
syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu
yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.
Semua orang yang
dimaksudkannya ialah para ulama. Mereka sependapat bahawa syariat yang
diwajibkan ke atas kita itu ada tujuan dan alasannya. Beliau
menambah, Allah yang Maha Bijaksana tidak akan membuat syariat agama tanpa tujuan, sebagaimana Dia tidak akan
menciptakan sesuatu yang batil. Frasa kata beban kewajipan yang mesti kita
lakukan tentunya merujuk
kepada sembahyang, zakat, puasa dan haji kerana
inilah ibadah-ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya.
Justeru harus kita
memahami benar-benar bahawa pada lahirnya
kita berpuasa, tetapi disebalik ibadah puasa itu ada tujuannya yang harus dicapai; begitu
juga halnya dengan ibadah-ibadah sembahyang, zakat dan haji. Inilah yang sangat penting diketahui oleh orang-orang yang
berpuasa dalam bulan Ramadan. Ketakwaan itu tadi adalah antara matlamatnya.Justeru Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan bahawa ilmu harus diberi keutamaan sebelum beramal.
Ilmu menjadi pendorong untuk mencari tujuan atau matlamat sesuatu ibadah atau hukum syariat. Misalnya tanpa ilmu tentang menahan makan-minum dalam ibadah puasa menyebabkan kita berpuasa sekadar mengikut takrif semata-mata. Berbeza dengan orang yang mempunyai ilmu bahawa larangan itu ada tujuan, dia akan berusaha mencarinya - dia berpuasa sambil cuba mencapai tujuannya.
Justeru, perbetulkanlah tanggapan kita terhadap ibadah puasa.
Kenalilah roh ibadah puasa, supaya dapat kita kenali objektif ibadah puasa. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat menunaikan ibadah puasa mengikut konsep yang lebih tepat, tidak tertambat kepada konsep berpuasa mengikut takrif.
No comments:
Post a Comment