Allah swt redha dengan sembahyang yang dapat melahirkan sikap kepedulian terhadap manusia lain. Dengan maksud lain ialah bahawa Allah menghendaki manusia melakukan amalan yang boleh memberi faedah kepada orang lain dan makhluk keseluruhannya.
Dengan kata lain,
ibadah sembahyang haruslah ditunaikan sehingga mencapai matlamanya sebagai asas
dan tonggak cara hidup. Malangnya fenomena menunjukkan wajah ibadah
sembahyang kita tidak seperti yang diharapkan ini.
Untuk menjadikan sembahyang sebagai asas dan tonggak cara
hidup (way of life) harus ada
sembahyang yang batin. Dalam kitab Siyar al-Salikin, orang yang
tidak khusyuk dalam sembahyangnya
dikatakan sebagai tidak ada sembahyang yang batin, dan sembahyangnya ditolak, kerana mengikut
kitab tersebut, hanya pada zahirnya dia
mendirikan sembahyang tetapi batinnya tidak turut serta (tidak melibatkan
hati). Kitab ini menyebut, ‘Bahawasanya
sembahyang itu ada baginya zahir iaitu mengerjakan segala rukun sembahyang dan
segala sunatnya, dan ada baginya pula batin yang mengesahkan bagi amal zahir
itu’. (Siyar al-Salikin 1, 66).
Dalam buku Rukun Islam Asas dan Tonggak Way
of life ada banyak lagi fakta yang menjelaskannya. Antaranya menyebut
tentang lalai hati dalam sembahyang,
yang kesimpulannya bahawa orang yang sembahyang tetapi tidak khusyuk adalah dikira tidak mendirikan sembahyang kerana
tidak ada sembahyang
yang batin itu.
Apakah petandanya
tidak khushuk itu?
Dari Muaz bin Jabal ra menyebut yang
ertinya, bahawasanya barangsiapa mengenal ia akan seorang yang di kanannya dan
orang yang di kirinya pada hal disahajanya dan iaitu di dalam sembahyangnya,
maka tiada baginya sembahyangnya, yang bermaksud bahawa sesiapa yang sedang mendirikan sembahyang,
sengaja mengenali orang yang di kanan atau kirinya itu adalah dikira sebagai
orang yang tidak sembahyang kerana sudah memalingkan
hatinya dari mengingati Allah.
Buku inimembentangkan panjang lebar erti khusyuk. Di sebut bahawa khusyuk adalah satu bentuk
komunikasi intrapersonal, atau komunikasi kendiri. Komunikasi adalah proses yang melibatkan
tindakan encode dan decode. Encode ialah proses otak
menerima maklumat yang dihantar oleh pancaindera,
manakala decode adalah proses otak menukar maklumat itu
tadi kepada kefahaman dan tafsirannya. Apabila berlaku encode dan decode di kotak pemikiran dikatakan berlaku
komunikasi.
Matlamat ibadah
sembahyang: Kita sering mendengar ayat al-Quran yang
maksudnya Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah
(perbuatan) keji dan mungkar (al-Ankabut, 45). Ayat ini menggambarkan bahawa ibadah
sembahyang dikaitkan dengan fenomena dalam kehidupan: perbuatan keji dan
mungkar itu adalah antara perkara-perkara yang terjadi dalam kehidupan.
Dengan ayat ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah
sembahyang kita bukanlah sebagai ibadah untuk ditunaikan sahaja tetapi ada
tujuan atau matlamatnya. Misalnya, dari Muaz ra katanya Rasulullah saw pernah
bersabda, yang maksudnya, Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah sembahyang, dan
puncaknya adalah jihad (Riwayat Muslim). Kita lihat hadis ini menyebut dengan
jelas bahawa sembahyang adalah tiang bagi segala urusan.
Bila disebut segala urusan, bermaksud
mencakupi segala bidang kehidupan termasuk ekonomi, politik, perundangan,
sosial, hiburan, kesukanan, kekeluargaan,
kemasyarakatan, dan sebagai-nya, iaitu urusan hidup. Dan apabila disebut tiangnya adalah sembahyang, menggambarkan bahawa sembahyang kita adalah tonggak atau
asas bagaimana caranya menjalankan segala urusan. Sekali lagi kelihatannya
hadis ini menyata-kan tentang kaitan ibadah sembahyang dengan hal-hal keinsanan
itu tadi.
Banyak lagi dalil yang menunjukkan perkaitan antara
ibadah sembahyang dengan hal-hal keinsanan dan
keTuhanan. Kita tinggalkan
buat sementara ini.
Sembahyang yang batin: Mengikut kitab Siyar al-Salikin,
sembahyang yang batin sertinya Amal yang di dalam hati, yang mengesahkan
bagi amal yang zahir. Kitab ini membincangkan dengan panjang
lebar, yang kesimpulannya ialah bahawa yang dimaksudkan ialah khusyuk.
Disebutkan pula bahawa barangsiapa
sembahyang pada hal hatinya lupa akan Allah Taala maka iaitu tiada
dinamakan mendirikan sembahyang, dan lagi, dan kerana itu sayugianya
bahawa hadir hati pada tiap-tiap rukun daripada segala rukun sembahyang itu. Hadir
hati yang dimaksudkan ialah seperti yang disabdakan oleh Nabi saw iaitu bahawa engkau berbuat ibadah akan Tuhan-mu
seolah-olah engkau lihat akan Dia, maka jika tiada engkau melihat akan Dia maka
bahawasanya adalah Dia itu melihat akan dikau. Kenyataan ini disokong
dengan ayat 205 al-Araf yang berbunyi yang
maksudnya dan jangan engkau jadikan dirimu di
dalam sembahyang dan lainnya itu daripada orang yang lalai akan Allah
Taala, yang bermaksud janganlah lalai
dari mengingati Allah Taala ketika mendirikan sembahyang. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa larangan ini membawa
maksud hukum haram, iaitu haramnya
kerana lalai akan Allah Taala; dan perbuatan lalai mengingati Allah Taala itu dianggap sebagai suatu kejahatan.
Dikatakan kejahatan adalah kerana bertentangan dengan ayat 14 surah Taha itu.
Jadi untuk mengelakkan dari
maksud lalai itu tadi kita harus
sentiasa menyemak bacaan-bacaan kita,
cara berdiri, rukuk, iktidal, sujud,
duduk antara dua sujud, duduk iftirasy dan tawaruk. Sedarilah bahawa Allah
sedang memerhatikan kita.
Bacalah buku Rukun Islam Asas dan Tonggak Way
of life bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Buku ini juga menjelaskan
butiran-butiran tentang petanda-petanda lalai
hati.
Apakah yang ada dalam sembahyang? Banyak lagi yang harus difahami tentang ibadah sembahyang.Sembahyang kita mengandungi rukun-rukun
yang dikelompok kepada qalbi, qauli dan feeli. Apa yang hendak diutarakan oleh buku
tersebut ialah falsafah bagi rukun feeli
itu. Pengetahuan tentang rukun feeli
ini membantu kita mendapatkan khusyuk. Dan, yang lebih penting lagi ialah bahawa
falsafah yang dimaksudkan itulah yang wajib dijadikan way of life. Buku ini menurunkan contoh-contoh way of lifenya sekali.
Pendek kata, bagi mengelakkan sembahyang
kita dipersoal oleh Allah swt kita harus mengetahi bahawa sembahyang kita harus
dilihat dari empat sudut yang berikut:
1.
Rahsia dan tujuan mengikut al-Quran dan
Hadis,
2.
Nilai dan kepentingan sembahyang dalam
struktur Islam,
3.
Kedudukan sembahyang dalam syariat Islam,
dan
4.
Nilai dan kepentingan sembahyang dalam
kehidupan individu dan lingkungan masyarakatnya.
Keempat-empat di atas ini akan
menyelamatkan kita dari persoalan seperti yang disebut oleh hadis dalam kitab Mustika
Hadis Jilid I, 42 di atas tadi.
Ringkasnya, bermaksud bahawa
sembahyang dan ibadah-ibadah yang lain itu belum
cukup untuk menolong pengamalnya mendapatkan syafaat syurga, kecuali yang
dapat menegakkan Islamnya (cara hidup) Dengan kata lain, ibadah sembahyang kita dan amal-amal yang lain
itu haruslah diterjemahkan sebagai cara hidup atau way of life.
Apakah kita rasa perkara-perkara di atas ini tidak penting, dengan mengatakan bahawa yang penting ialah mendirikan sembahyang. Dalam buku tersebut membuktikan pandangan seperti ini adalah dikira sebagai pandangan orang-orang yang imannya belum cukup, imannya masih di tahap kedua. Jika dimasukkan pula iman para Nabi, golongan ini imannya jatuh yang ketiga. Wallahu aalam.
No comments:
Post a Comment