Terdapat sebanyak 27 ayat al-Quran yang
menggandingkan ibadah sembahyang dengan zakat. Antaranya ialah ayat 3, 43, 83,
110, 177, 277 al-Baqarah, ayat 77, 162 an-Nisa’, ayat 12, 55 al-Maidah, ayat 3
al-Anfal, ayat 5, 11, 18, 54, 71 at-Tawbah, ayat 22 ar-Ra’d, ayat 31 Ibrahim.
Justeru
saya meletakkan Zakat sebagai Rukun Islam yang kedua. Jadi selepas
membincangkan sembahhyang, buku ini meletakkan zakat menyusul mendahului puasa
dan haji.
Ibadah sembahyang lebih menjurus kepada soal
ketawhidan. Maka apabila Allah
menyeru agar manusia mengambil berat tentang kemanusiaan, ibadah zakat adalah asasnya kerana jelas ibadah ini adalah
lambang kepedulian buat manusia.
Kerana inilah
kita dapati ada ayat-ayat yang menggandingkan ibadah sembahyang dengan zakat
dalam satu ayat. Misalnya yang biasa kita dengar ayat 43 al-Baqarah yang maksudnya Dan dirikanlah
kamu akan sembahyang dan keluarkanlah
zakat. Dan satu lagi ialah ayat yang ertinya Oleh itu, kerjakanlah
sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai
bersyukur). Ini membayangkan bahawa darjat
kepentingan ibadah zakat adalah sama dengan sembahyang berbanding dengan
ibadah puasa dan haji. Kepentingan kedua-duanya adalah lebih asas daripada
puasa dan haji.
Jadi
implikasinya, seseorang yang tidak menunaikan zakat adalah dikira sebagai
seorang yang meruntuhkan agama juga seperti mana orang yang tidak mendirikan
sembahyang. Dengan kata lain, rasa tanggungjawab terhadap ibadah zakat itu
harus dirasai sama dengan rasa tanggungjawabnya terhadap sembahyang, dan pelaksanaan kedua-dua
ibadah itu juga harus seimbang (wasatiyah).
Justeru,
seseorang Islam harus melihat mesej ayat-ayat yang menggandingkan sembahyang
dengan zakat itu sebagai prinsip kehidupannya, melaksanakan konsep hablum
minallah dan hablum minannas dengan seimbang, tidak melebihkan yang satu daripada yang satu
lagi itu.
Ayat 1-4 al-Mu’minun menyebut bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang menunaikan
sembahyang dan menunaikan zakat. Ini bererti kegagalan menunaikan kedua-dua
ibadah ini merupakan orang yang malang, orang yang meruntuhkan agama, dan hidupnya jauh dari-pada keredaan
Allah swt. Hal ini disebut oleh ayat 277
al-Baqarah yang menyebut, Sesungguhnya orang yang beriman,
mengerjakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Orang
yang berjaya bermaksud masuk syurga. Jadi ayat 277 ini menggambarkan
orang-orang yang dimaksudkan.
Zakat adalah ibadah yang menghubungkan seorang manusia dengan manusia lain
berasaskan sikap rasa kepedulian.
Kenali diri sendiri
Manusia adalah makhluk yang dianugerahi dengan kuasa meneroka sumber-sumber alam untuk
kepentingan dan citarasanya. Bersamanya Allah anugerahi juga kuasa berfikir dan
mempunyai perasaan. Dengan perasaannya terbitlah nilai-nilai saling mengerti
dan tolak ansur dan rasa ingin tahu. Nilai-nilai murni dalamannya itulah yang
mendorong-nya cuba meniru sifat murahati Allah dan bekerjasama dengan rakan-rakannya.
Ini menggambarkan dalam diri manusia ada sifat-sifat Ilahi.
Hal ini
dibayangkan oleh ayat 50 surah Taha yang menyebut, Tuhan kami ialah yang
telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu:
kejadian semulajadinya yang sesuai
dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya cara menggunakannya.
Ayat 70 al-Isra’ pula mengesahkan kedudukan ini, yang menyebut serta Kami telah lebihkan mereka dengan
selebih-lebihnya. Kerana
itu Allah swt mengingatkan (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah
kemurkaan-Nya (al-Mulk, 15). Allah sengaja menganugerah-kan kelebihan yang
banyak kepada manusia berbanding
makhluk-makhluk yang lain.
Manifestasi
dari kelebihan-kelebihan itu menjadikan manusia sebagai makhluk yang bukan
hanya memerlukan keperluan asas seperti tumbuhan, tetapi sebagai makhluk yang
mampu diminta kerjasama. Ayat 63-73
al-Waqiah mengingatkan agar manusia merenung semula kepada kejadian
tumbuhan yang ditanamnya, dan air yang diminumnya. Allah mempersoalkan siapakah
yang mengizinkan tumbuhan itu tumbuh subur dan siapakah yang menyediakan air
untuk diminum. Peringatan ini hendak menggambarkan kekuasaan Allah melalui
ciptaan-ciptaan seperti air, api dan
tumbuhan untuk keperluan manusia dan sekalian makhluk, lalu mengingatkan
agar manusia mensyukuri nikmat-nikmat-Nya itu dalam bentuk kerjasama dan
bergaul.
Manusia
dianugerahi juga dengan naluri mengkagumi
kecantikan dan kehalusan pekerti, malah naluri ingin terus maju. Hal ini telah
digambarkan oleh Endang Saifuddin bahawa manusia mempunyai tujuh kemampuan,
antaranya kemampuan mengenali hal-hal umum, yang tidak diberikan kepada haiwan
dan tumbuhan.
Allah juga menganugerahi manusia dengan naluri kerjasama
dengan rakan-rakan, dan mengambil berat keperluan antara satu sama lain
bagi mengekalkan keimarahan bumi dengan menggunakan semangat-nya untuk kebaikan
bersama. Naluri ini dikekalkan sampai bila-bila agar dengannya manusia mempunyai aspirasi melibatkan diri, dinamik
mengikut tahap kemampuannya.
Kita juga sudah
tahu bahawa Allah juga menganugerahi manusia dengan hidayah-hidayah yang tidak
diberikan kepada makhluk lain, antaranya ialah hidayah akal budi. Atas perbezaan inilah kehidupannya menagih dinamika dan
kepesonaan.
Dengan kelebihan-kelebihan inilah maka ayat 1-4, surah Quraisy, menyeru
manusia agar mencontohi sifat Ilahi iaitu
memberi mereka penghidupan (menyelamatkan mereka dari kelaparan dan
ketakutan). Kita sendiri sedar betapa setiap kali melihat orang susah tidak
kecukupan keperluan hidup rasa terpanggil bersimpati. Ini adalah didorong oleh
naluri semulajadi anugerah Allah swt. Seruan ini sejajar dengan ayat 3
al-Fatihah, iaitu ayat yang menyatakan tentang sifat ar-Rahman Allah
swt.
Nabi saw juga menekankan betapa manusia tidak boleh hidup menyendiri. Hal
ini disebut dalam satu riwayat yang menyebut
bahawa pernah seorang hamba Allah mengutarakan hasratnya untuk tinggal di suatu
lembah hijau dingin yang menawan, menyendiri, jauh dari gangguan orang lain,
tidak pula mengganggu orang lain, tetapi Nabi saw melarangnya. Keputusan Nabi
saw ini bertepatan dengan ayat dalam surah Quraisy itu tadi. Sedar atau tidak
dalam banyak hal, hakikatnya orang kaya sekalipun masih bergantung kepada orang
miskin, memerlukan bantuan tenaga dan sebagainya.
Riwayat ini
mendedahkan hakikat bahawa manusia tidak mampu untuk berdikari tanpa bantuan
orang lain. Ayat 27 ar-Rum menyebut hanya Allah yang mempunyai sifat tertinggi
di langit dan di bumi, dan Dialah juga Yang Maha Berkuasa. Ayat ini mendedahkan
bahawa manusia itu serba lemah, hanya Dialah yang Maha Sempurna.
Pembentangan di
atas ini menggambarkan peranan dan fungsi zakat. Ketahui juga konsep kepunyaan
harta di sisi Allah semoga kita menjadi seorang hamba yang tunduk patuh
kepada-Nya.
Ketahuilah
bahawa harta dalam tangan bukanlah milik kita secara mutlak tetapi di dalamnya
mengandungi bahagian hak orang miskin. Kerana inilah disebutkan bahawa kekayaan
adalah suatu amanah. Lalu zakat adalah satu-satunya cara kita melaksanakan
amanah ini. Ketahuilah apakah asas idea zakat, dan seterusnya pengertian
zakat yang lebih tepat.
Fungsi zakat sebenarnya
bukan sekadar yang kita fikirkan tetapi adalah lebih dari itu. Disebutkan
bahawa antaranya adalah bagi melepaskan orang miskin dari belenggu kemiskina,
bukan setakat menyantuni mereka. Apakah maksud melepaskan itu?
Untuk
menyantuni mereka, cukuplah sekadar menghulur sejumlah wang tunai kepada
golongan sasar. Mengikut konsep yang sebenar ini harus ditukar kepada program
memberi bantuan bagi melepaskan mereka dari keadaan kemiskinan. Konsep ini
telah dijalankan pada zaman Saidina Omar: diriwayatkan pada zaman
pemerintahannya sehingga tidak ada lagi golongan miskin.
Zakat juga bererti berkembang,
yang bermaksud bahawa wang zakat harus dibelanjakan
dan dilaborkan.
Wang
zakat yang dibelanjakan akan
merancakkan lagi edaran wang dalam kalangan masyarakat. Aktiviti ini adalah
faktor yang merancakkan pertumbuhan ekonomi yang sihat bagi sesebuah masyarakat
atau negara. Apabila wang dari pusat pungutan zakat diberikan kepada golongan
sasaran bererti berlaku perpindahan wang dari pusat pungutan zakat kepada satu
pihak kepada pihak lain iaitu golongan miskin. Perpindahan yang seterusnya misalnya
dari golongan miskin kepada golongan peniaga, dan dari peniaga kepada kegiatan
ekonomi yang lain, dan seterusnya, dari sudut ekonomi sesebuah negara sebagai
pemacu pertumbuhan ekonomi.
Dengan
kata lain wang zakat tidak harus disimpan-beku. Islam melarang, sebaliknya
menghendaki pemegang wang dan harta melaborkannya.
Keuntungan dari pelaboran ini bererti wang zakat berkembang, dan kuasa wang
zakat menjadi lebih luas, mencakupi golongan sasar seperti golongan kafir
miskin.
Inilah
sebabnya disarankan agar agensi pungutan zakat diangkat menjadi sepertimana
agensi perbankan, pastinya perbankan yang bebas faedah.
Kesemua
ini dan banyak lagi terlakar dalam buku Rukun
Islam Asas dan Tonggak Way of Life,
terbitan Karisma Publishing.
No comments:
Post a Comment