Puasa


Ketika Allah hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi, malaikat bertanya apakah Engkau hendak menjadikan orang yang membuat bencana dan berbunuh-bunuhan sebagai khalifah bumi, Allah berfirman, Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqrah, 30).

Ayat ini menunjukkan kegusaran malaikat jika manusia dijadikan khalifah di bumi, kerana sifatnya cenderung kepada membuat bencana dan berbunuh-bunuhan. Namun respond Allah itu pula menunjukkan ada rahsia tentang manusia yang Allah hendak jadikan tetapi malaikat tidak mengetahuinya.

Kegusaran malaikat adalah kerana antara sifat-sifat manusia itu seperti yang tersurat dalam ayat-ayat al-Quran, antaranya ayat 27 al-Baqarah, manusia sebagai makhluk yang akan membuat bencana dan berbunuh-bunuhan. Bagi malaikat sifat-sifat ini tidak melayakkan manusia menjadi khalifah. Ya, jelas itu adalah sifat perosak, yang bertentangan sama sekali dengan tujuan membina kerajaan Allah di bumi.

 Namun, jawapan balas Allah dalam ayat itu menunjukkan malaikat tidak mengetahui kriteria-kriteria seseorang khalifah. Apakah hikmahnya sifat berbuat bencana dan berbunuhan itu bagi seorang khalifah, atau apakah rahsia yang lain lagi di sebalik sifat-sifat makhluk perosak ini (manusia).


Dalam diri manusia ada sifat kemalaikatan dan sifat kehaiwanan. Apakah rahsia Allah mencipta manusia yang mempunyai dua personaliti ini? Apakah sifat-sifat ini memang kriteria penting bagi seseorang khalifah bumi.
Jawapannya, Ya, kekhalifahan menghendaki makhluk yang mempunyai sifat-sifat yang berlainan dengan malaikat dan kehaiwanan. Justeru Allah swt hendak mencipta sejenis makhluk yang mempunyai kedua-dua sifat tersebut. Lalu Allah mencipta manusia sebagai makhluk yang mempunyai sifat-sifat kemalaikatan dan sifat-sifat kebinatangan. Namun, kedua-dua unsur sifat ini diadun dalam bentuknya yang unik, bagi meletakkan manusia yang sifat-sifatnya tidak terlalu mirip kemalaikatan maupun kehaiwanan. Dengan kata lain manusia adalah makhluk yang mempunyai sifat-sifat di antara keduanya. Lihatlah apakah penjelasan selanjutnya mengikut buku berkenaan.
Diringkaskan bahawa sifat-sifat manusia itu mampu membina hubungan intim dengan Pencipta dan pada masa yang sama membina hubungan dengan makhluk yang bersifat keinsanan. Jadi jelas bahawa Allah memang menghendaki sifat-sifat ini untuk menjadi khalifah. Dengan sifat-sifat yang ada dalam diri manusia itu manusia boleh membangun dirinya dengan sifat-sifat kemalaikatan, tetapi malaikat tidak mempunyai kemampuan membina sifat kemanusiaan. Justeru Allah mencipta manusia yang mempunyai sifat-sifat kemalaikatan, kemanusiaan dan kehaiwanan.

Dengan sifat-sifat kemalaikatan, manusia mempunyai hidayah akal budi, hidayah agama, dan hidayah at-Taufiqi. Dengan anugerah yang inilah maka manusia mempunyai sifat-sifat suci murni seperti kemuliaan, kebebasan dan maruah, murah hati dan belas kasihan, baik hati dan belas kasihan, kesabaran dan kesucian, iaitu sifat harga diri atau sifat yang menunjukkan nilai-nilai perikemanusiaan. Inilah yang tidak diketahui oleh malaikat yang disebut oleh ayat di atas tadi, dan inilah sifat-sifat yang harus ada bagi seseorang khalifah.

Allah jua Yang Maha Mengetahui bahawa dalam kehidupan fizikal dunia, manusia menghendaki kualiti-kualiti penting seperti perasaan, dorongan kelaparan, mencintai ketenteraman, kemahuan seks, sifat ingin tahu dan kreativiti, dan lebih jauh lagi ialah kemampuan untuk membina perdagangan dan perusahaan, dan keinginan kepada kepelbagaian dan perubahan sebagai sebahagian daripada asal kejadiannya. Kesemuanya ini tidak ada dalam diri malaikat. Allah menjadikan malaikat hanya sebagai makhluk yang sentiasa tunduk patuh dan menyembahkan diri kepada Pencipta-nya. Dengan asal kejadiannya ini bagaimana hendak menjadi khalifah kepada kehidupan fizikal makhluk yang ada sifat-sifat kehaiwanan.
Sifat-sifat di atas ini menjadikan manusia sebagai makhluk yang terbina daripada jasmani dan rohani.

Rohaninya cuba mengekalkan keadaan kejadiannya yang suci tanpa dosa, mengingatkan tujuannya dijadikan, dan memandu jalan hidupnya yang betul. Rohaninya juga mengajak manusia melihat kecantikan dan kemewahan dunia samawi, dan memberikan inspirasi memprotes kebobrokan dan materialistik. Pendek kata hasratnya amat tinggi untuk melepaskan manusia dari kurungan yang memenjara jiwanya.

Rohani manusia juga sering mengajak untuk memperuntukkan sedikit masa dari kehidupannya yang monotoni seperti makan-minum, sebaliknya mengajak mencari kepuasan yang lain.

Jasmani manusia pula menariknya ke arah sumber kejadiannya iaitu tanah. Sifatnya cenderung kepada kejahatan dan kejelekan. Ayat 26 al-Hijr menyebut bahawa manusia (Adam) dijadikan dari tanah liat kering yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Ayat ini cuba menggambarkan sifat-sifat negatif tentang tanah itu.
Maknanya sifat-sifat tanah liat yang kering, yang berubah-ubah warnanya itu menjadikan manusia makhluk yang sifat-sifatnya sering berbolak-balik, dan yang paling jelas sentiasa tertambat dengan sifat-sifat kehaiwanan. Hidayah akal budi dan hidayah-hidayah yang lain-lain itu sering menghadapi cabaran yang cuba mengalihkan tujuan hidupnya yang asal dan destinasinya.

Jadi, kelihatannya dalam diri manusia ada dua unsur yang kecende-rungannya saling bertentangan. Apakah natijahnya? Ketahuilah, agar menjadi pendorong ibadah puasa yang lebih sempurna, tidak bertentangan dengan ayat 12 surah Muhammad.

Apakah kesannya kepada kehidupan manusia?

Dengan sifat-sifat kehaiwanan inilah cara hidup manusia dalam situasi pergelutan antara jasmani dan rohani, bergelut dengan usaha mencari polisi dan falsafah bagi menentukan cara hidup. Bacalah, akibatnya.

Islam telah menggariskan cara hidup yang komprehensif dan universal, yang berpegang kepada nilai-nilai moral dan emosi semulajadi. Inilah asas-asas kezahidan kehidupan, yang sekali gus membuang pride kemewahannya. Malangnya sebahagian manusia termasuk umat Islam sendiri melihatnya secara berlebihan sehingga mencetus idea membawa dirinya terasing dari kehidupan bermasyarakat. Walhal bukan ini yang dikehendaki oleh agama (Islam) kerana ayat 27 al-Hadid telah menyebut, dan perbuatan mereka beribadat secara Rohbaniyah, mereka sahaja yang mengadakan dan mencipta, Kami tidak mewajibkannya. Peribadatan Rabbaniyah mereka melahirkan bentuk peribadatan yang terlalu condong kepada keTuhanan. Allah tidak mewajibkan manusia beribadat sedemikian rupa, tetapi tidak dinafikan memang ada golongan yang mengada-adakannya sedemikian.

Puasa adalah penyelamat. Puasa menyelamatkan manusia dari serangan kebendaan, dan membebas manusia dari dominasi kehaiwanan yang membelenggunya. Sejarah kerasulan menunjukkan para rasul diutus untuk menabur benih-benih kemoralan dan kerohanian, mengajak manusia kembali kepada realiti tujuan kejadiannya, yang disimpulkan kepada tiga perkataan iaitu ibadah, kesalihan dan khilafah. Ketiga-tiganya ini tidak dapat dicapai dengan menerapkan unsur kerohanian malaikat apalagi kehaiwanan. Satu-satunya jalan ialah menjalani rutin tahunan iaitu berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan. Ibadah puasa diatur bagi meredakan keghairahan itu tadi, dan menggantikanya dengan sebanyak mungkin nilai-nilai tunduk patuh dan kerohanian.

Tujuan ibadah puasa: Objektif ibadah puasa adalah untuk menanamkan sifat Samadiyyah Ilahi, iaitu bebas dari desakan kemahuan. Ini bererti samadiyyah bagi manusia adalah yang berada antara kemahuan malaikat dengan haiwan, yang cirinya mengawal desakan kemahuan.

Malaikat adalah makhluk yang tidak mempunyai kemahuan, manakala kemahuan haiwan pula melampaui batas. Walaupun manusia dibekali dengan kuasa melawan nafsu makan, malangnya kuasa ini selalunya tunduk kepada desakannya. Jadi manusia terpaksa bekerja keras bagi mengimbanginya bagi meraih sifat-sifat samadiyyah itu tadi. Caranya ialah melalui proses berpuasa.

Ibadah puasa bertujuan membebaskan diri manusia dari cengka-man kemahuan (nafsu) supaya dapat meletakkan dirinya dalam situasi kesederhanaan antara kemalaikatan dan kehaiwanan. Dengan kebebasan yang dicapainya ini diharapkan seseorang itu akan menyedari matlamat penyucian dan kesejahteraannya. Jadi tujuan ibadah puasa ialah mengawal kemahuan dan nafsunya melalui latihan menahan lapar dan dahaga, serta perkara-perkara yang membatalkan. Kelihatannya berpuasa adalah sebagai obat penawar bagi penyakit hambatan nafsu.

Hakikat ibadah puasa: Dalam al-Quran menyebut antaranya yang paling popular ialah Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagai-mana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. Ayat ini menggambarkan bahawa antara yang akan dilihat oleh Allah ialah ketakwaannya. Sedikit sebanyak anda sudah mempunyai pengetahuan tentang takwa. Apakah kepentingan takwa? Persoalan ini sedemikian juga kedudukannya. Cuma barangkali sukar untuk anda menjawab apabila ditanya cara menyemaknya. Buku ini menggariskan 5 kriteria menyemaknya:

1.    Hidupnya kerana Allah,

2.    Menjalankan perintah dan menjauhi larangan,

3.    Manhaj (kaedah) melakukan,

4.    Natijah perlakuan, dan

5.    Tidak meninggalkan perkara-perkara fardu ain.


Matlamat ibadah puasa: Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menulis dalam bukunya, Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.

Semua orang yang dimaksudkannya ialah para ulama. Mereka sependapat bahawa syariat yang diwajibkan ke atas kita itu ada tujuan dan alasannya. Beliau menambah, Allah yang Maha Bijaksana tidak akan membuat syariat agama tanpa tujuan, sebagaimana Dia tidak akan menciptakan sesuatu yang batil. Frasa kata beban kewajipan yang mesti kita lakukan tentunya merujuk kepada sembahyang, zakat, puasa dan haji kerana inilah ibadah-ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya.
Justeru harus kita memahami benar-benar bahawa pada lahirnya kita berpuasa, tetapi disebalik ibadah puasa itu ada tujuannya yang harus dicapai; begitu juga halnya dengan ibadah-ibadah sembahyang, zakat dan haji. Inilah yang sangat penting diketahui oleh orang-orang yang berpuasa dalam bulan Ramadan. Ketakwaan itu tadi adalah antara matlamatnya.
Justeru Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan bahawa ilmu harus diberi keutamaan sebelum beramal.

Ilmu menjadi pendorong untuk mencari tujuan atau matlamat sesuatu ibadah atau hukum syariat. Misalnya tanpa ilmu tentang menahan makan-minum dalam ibadah puasa menyebabkan kita berpuasa sekadar mengikut takrif semata-mata. Berbeza dengan orang yang mempunyai ilmu bahawa larangan itu ada tujuan, dia akan berusaha mencarinya - dia berpuasa sambil cuba mencapai tujuannya.
Justeru, perbetulkanlah tanggapan kita terhadap ibadah puasa.
Kenalilah roh ibadah puasa, supaya dapat kita kenali objektif ibadah puasa. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat menunaikan ibadah puasa mengikut konsep yang lebih tepat, tidak tertambat kepada konsep berpuasa mengikut takrif.

No comments:

Post a Comment