Haji


Adalah menjadi satu sifat semulajadi manusia, suka mencari kepuasan, kerana kejadiannya Allah bekalkan dengan sifat-sifat rasa cinta dan kasih sayang, sifat pemujaan dan penyerahan. Ini menunjukkan dalam diri setiap manusia sudah tertanam nilai-nilai tersebut itu sejak lahir. Jadi sepanjang tempoh waktu hidupnya setiap manusia akan sentiasa mencari jalan bagi memenuhi tuntutan sifat-sifat semulajadinya itu. Mencari kepuasan.
Berbagai cara manusia memuaskan sifat-sifat itu tadi, sama ada didorong oleh naluri dirinya sendiri mahupun oleh sesuatu yang ditemuinya dari sekitarannya. Yang nyata kepuasannya harus dipenuhi.
Bagi memenuhi tuntutan dalaman inilah maka Allah swt menyediakan objek-objek tertentu yang dapat dilihat, tetapi yang diisytiharkan suci untuk dilihat bagi tujuan membangkit-kan kenang-kenangan terhadap-Nya, di samping mengingati sejarah upacara-upacara yang berkait dengan para nabi dan rasul-rasul-Nya. Objek-objek itu Allah sediakan dan diisytihar sebagai syiar-syiar-Nya, sebagai tanda keagungan dan kebesaran-Nya, dan menjamin sesiapa yang mengagungkan-nya adalah umpama mengagungkan-Nya.
Allah swt juga membenarkan manusia untuk memuaskan keinginan semulajadinya (kecintaan, keakraban dan pemujaan) melalui objek-objek itu, firman-Nya, Demikianlah (perintah Allah); dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati (al-Hajj, 32).
Objek-objek yang dimaksudkan itu ialah kaabah Baitullah, makam Ibrahim, bukit Safa dan Marwa, seperti yang disebut dalam ayat 26 surah yang sama, yang maksudnya, Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan), ‘Janganlah kamu mempersyarikatkan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang beribadat, dan orang-orang yang rukuk dan sujud (al-Hajj, 26).
Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak, maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlan untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir (al-Hajj, 28).
Sedarilah, inilah antara sebab-sebab Allah swt mewajibkan umat Islam mengerjakan ibadah haji, malah ibadah ini diangkat lebih tinggi darjatnya sehingga dijadikan RUKUN ISLAM.
Bacalah lebih lanjut dari buku
RUKUN ISLAM Asas dan Tonggak Way of Life,
Terbitan Karisma Publishing.

Ada dua perkara yang penting yang disebut dalam ayat ini, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan korban binatang ternak. Jadi maksud ayat ini ialah bahawa kaabah dan lain-lain itu adalah sebagai syiar Allah untuk disaksikan bagi melepaskan rasa cinta rindu dan pemujaan terhadap-Nya Allah swt. Inilah antara manfaatnya disediakan kaabah Baitullah itu. Demikianlah (perintah Allah); dan barang-siapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya (al-Hajj, 30).
Apa yang disebutkan di sini ialah gambaran suasana musim haji, di mana bakal-bakal haji diseru juga agar melakukan korban dengan menyebut nama Allah, dari binatang ternak pada hari-hari yang ditentukan iaitu 10-13 Zulhijjah.
Apabila disebut sejarah upacara yang berkait dengan para nabi dan rasul, mengingatkan kita kepada sifat-sifat kasih sayang Nabi Yahya, seperti yang disebut dalam al-Quran, Hai Yahya, ambillah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh, dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak; dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa); dan ia adalah seorang yang bertakwa’. (Maryam, 12-13).
Manakala Nabi Ibrahim adalah lambang kecintaan dan dedikasi. Dalam al-Quran disebut bagaimana Nabi Ibrahim sanggup mengor-bankan anaknya ketika kecil lagi malah sanggup meninggalkan isteri dan anak bayinya ke suatu tempat yang gersang tanpa sebarang bekalan, Dan Kami panggillah dia, ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenar-kan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata’. (as-Syafaat, 104-106). Dan lagi, Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah (Hud, 75). Inilah tahap kecintaan para Nabi kepada Allah swt, umpamanya Nabi Ibrahim, sehingga sanggup mengorbankan anaknya Ismail demi kecintaannya kepada Allah.
Analoginya, mungkin boleh dilihat umpamanya sepasang suami-isteri yang baru menerima anak sulung yang sekian lama dinanti-nanti-kannya, setelah kelahirannya si ibu meminta untuk menjaganya. Atas rasa cinta kedua-dua suami isteri kepada satu-satunya ibu yang masih ada, lalu diserahkannya. Inilah lambang kasih sayang anak dan menantu kepada ibunya.
Jadi ibadah haji ini adalah caranya umat Islam melampias rasa kecintaan dan memuaskan naluri semulajadinya: ibadah ini mengan-dungi upacara-upacara dan formaliti yang berkait dengan tawaf menge-lilingi Kaabah, saie dari bukit Safa ke bukit Marwa, dan syiar-syiar Allah yang lain itu tadi, bagi memenuhi desakan dalaman yang tersebut itu. Dalam al-Quran disebut,
Dan (ingatlah); ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan) ‘Janganlah kamu mempersekutukan sesuatupun dengan Aku, dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang rukuk dan sujud. Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh; supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikan-lah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir. Kemudian hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melaku-kan tawaf sekeliling rumah suci itu (Baitullah) (Hajj, 26-29).
Maka terbentuklah ibadah haji yang zatnya terdiri daripada rukun-rukun seperti berikut:
·         Ihram (berniat mulai mengerjakan haji dan umrah),
·         Berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulkhijah, mulai daripada tergelincir matahari sampai terbit fajar 10 Zulkhijah. Maksudnya setiap bakal haji hendaklah berada di sana dalam tempoh waktu tersebut, walapun sekejap,
·         Tawaf (mengelilingi Kaabah). Tawaf untuk rukun haji ini dinamakan tawaf ifadah,
·        Saie (berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwah),
·        Bercukur atau menggunting rambut, paling kurang tiga helai, dan
·        Tertib, melaksanakan rukun-rukun ini bermula dari 1.
Di samping enam rukun ini ialah perkara-perkara yang wajib dipanggil wajib-wajib haji. Mungkin ada orang akan bertanya mengapa-kah pula ada wajib-wajib haji? Sebagai ibadah puncak, perkara-perkara yang wajib itu mengandungi nilai-nilai dalaman bagi melengkap-kan nilai-nilai dalaman daripada rukun-rukun tadi. Kerana banyak ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan ibadah haji, justeru dijadikannya sebagai sebahagian daripada perkara wajib dalam ibadah ini. Wajib-wajib haji ialah:
·         Berihram di Miqat (tempat yang ditentukan dan masa tertentu),
·         Berada di Muzdalifah sesudah tengah malam iaitu pada malam Hari Raya Haji selepas berada di padang Arafah,
·         Melontar Jumrah Aqabah pada Hari Raya Haji, iaitu 10 Zulkhijah,
·         Melontar tiga Jumrah: iaitu jumrah pertama, kedua dan ketiga, menggunakan tujuh anak batu, setiap satu jumrah. Waktu melontarnya ialah selepas gelincir matahari,
·         Bermalam di Mina,
·         Tawaf wida’ iaitu tawaf pada saat-saat hendak meninggalkan Mekah,
·         Menjauhi larangan-larangan iaitu perkara yang diharam-kan semasa berihram.
Kebanyakan kita menunaikan haji hanya untuk melunaskan tuntutan Rukun Islam sahaja, kita melakukannya hanya dijaganya dari dua aspek sahaja iaitu rukun-rukun haji dan wajib-wajib haji semata-mata: rukun-rukun haji bagi menentukan haji kita sah, manakala wajib-wajib haji pula bagi mengelakkan dari dikenakan denda yang disebut dam.
Sekadar untuk sah haji tidak banyak yang hendak dipertimbangkan, kerjakan sahaja rukun-rukun dan wajib-wajib haji itu tadi.
tetapi
apakah ini hakikat ibadah haji yang Allah swt dan Rasul-Nya kehendaki, iaitu ibadah yang dilaksana
sekadar mencapai sah hajinya sahaja.
Haji yang mabrur.
Haji adalah ibadah dalam Rukun Islam. Apakah ertinya Rukun dan apakah ertinya Islam! Rukun bererti asas dan tonggak, manakala Islam adalah cara hidup. Justeru ibadah haji haruslah yang merealisasikan konsep ini iaitu ibadah yang menjadi asas dan tonggak cara hidup Islam.
Apakah cara hidup yang boleh dipelajari dari ibadah haji?
Satu contoh: keteika berihram haji kita dilarang membunh binatang dan merosakkan tumbuhan. Hukum ini mengajar erti menjaga alam sekitar. Tumbuhan dan binatang itu adalah ikon kepada alam sikitar.
Untuk mengharap haji yang mabrur hal-hal yang berkaitan dengan alam sekitar ini harus dijadikan amalan selepas bergelar haji dan hajah.
Hakikatnya haji adalah ibadah yang mentransformasi seseorang hamba kepada kualiti diri sebagai seorang Muslim. Nilai dari contoh itu tadi adalah yang tertinggi lantaran ibadah haji adalah ibadah terakhir dalam Rukun Islam. Selepas ini tiada lagi ibadah yang disediakan bagi mempertingkatkan kualiti cara hidup. Inilah kualiti yang memungkinkan seseorang mendapat haji yang mabrur. Imam Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyebut, Antara tanda haji yang mabrur ialah seseorang yang pulang dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya serta tidak mengulangi perbuatan maksiat. Fahamlah kita bahawa haji yang mabrur itu adalah haji yang memberi kesan kepada pelakunya.
Justeru, para jemaah haji seharusnya tidak hanya memikirkan kesahan hajinya, sebaliknya sedaya upaya bertekad menjernihkan hati dan akhlaknya dengan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah haji. (bersambung)

No comments:

Post a Comment