Intro 4 Tonggak

Ciri utama Gagasan Hidup Islam ialah bahawa Islam tidak memisah-kan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi secara yang sangat ketara, tidak juga membenarkan konflik, dan tidak juga membuat batasan pemisah antara menulenkan rohani dan kehidupan moral manusia. Daerah kekuasaan Islam meliputi kepelbagaian macam, rupa dan emosi kehidupan. Syumul.
Islam mahu membentuk kehidupan individu dan kelompoknya yang susunan sosialnya dalam corak yang sihat sejahtera. Jadi cita-cita Islam ialah membina iklim kehidupan yang polanya ialah keamanan, kepuasan dan kesejahteraan. Sasarannya bukan sahaja manusia tetapi mencakupi juga persekitaran kehidupan manusia itu sendiri.
Alasannya ialah bahawa kesejahteraan manusia bergantung kepada persekitarannya. Allah yang mengaturkan demikian. Allah mengaturkan supaya kehidupan di dunia ini berada dalam situasi saling bergantung antara satu sama lain. Justeru keamaman, kepuasan, dan kesejahteraan itu tadi harus dibina untuk kedua-duanya iaitu manusia dan sekalian makhluk keseluruhannya selain manusia. Sejak kelahiran Adam lagi Allah telah mengaturkannya sedemikian.
Jadi, jika Islam hendak menciptakan iklim kehidupan yang sejahtera buat manusia, kesejahteraan buat sekalian makhluk itu tadi harus diujudkan sekali gus. Jika tidak sistem yang Allah telah tetapkan itu tadi akan cacat, rosak dan sistem itu dengan sendirinya akan tempang, akibatnya, dengan sendirinya iklim kesejahteraan untuk manusia juga tidak sempurna. Apalah ertinya kehidupan jika tidak ada air atau ada air yang tercemar, udara yang kurang sihat, sumber-sumber kehidupan dan kekayaan yang tidak mencukupi. Dapatkah iklim kehidupan yang sejahtera dibina atas sumber-sumber yang dalam keadaan tidak seimbang dan stabil.
Jadi, dalam sistem kehidupan, manusia amat memerlukan sistem moral, sistem sosial, dan pelbagai lagi yang keadaannya sihat sejahtera, aman dan penuh kepuasan. Inilah teras kepada pembentukan satu sistem kehidupan mengikut Islam. Justeru setiap kali hendak bercakap tentang sistem moral, sosial, politik, budaya dan ekonomi Islam, adalah sangat perlu mempunyai idea yang jelas tentang konsep kehidupan Islam ini. Untuk ini, mengikut Islam terdapat kefahaman asas tertentu yang perlu difahami dan dihargai dari peringkat awal lagi.
Apakah asas untuk merealisasikan cita-cita Islam ini.
Sedia maklum, sebagai seorang Islam kita hanya diwajibkan menunaikan perkara-perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu mendirikan sembahyang, berzakat, berpuasa dan haji sahaja. Ini bererti keempat-empat ibadah inilah yang dijadikan teras pembentukan satu sistem kehidupan mengikut Islam. yang iklimnya sihat sejahtera, aman dan penuh kepuasan.


Sebagai seorang Islam, tanggungjawab kita tidak tuntas sekadar menunaikan aqidah dan ibadah sahaja, meninggalkan yang dua lagi iaitu akhlak dan syariat.
Ideologi Islam meletakkan garisan yang betul di mana hubungan manusia dengan Tuhan hendaklah dibina dan dipelihara sewajarnya; dan seluruh jalan hidup individu dan sosialnya haruslah sentiasa tertambat kepada hubungan ini.
 Aqidah adalah titik tolak permulaan dalam agama Islam. Aqidah menghendaki akal dan kehendak manusia menerima hubungan itu tadi. Oleh itu, ideologi Islam adalah penyerahan yang total dalam semua aspek kehidupan dan tingkah laku. Jadi seseorang yang mengaku dirinya Islam harus berserah dalam kedudukan ini, iaitu bahawa setiap individu harus memandang kehidupan ini sentiasa tertambat kepada aqidah (atau keimanan). Inilah rancangan hidup yang dibayangkan oleh Islam. Rancangan ini dikenali sebagai syariat, yang sumbernya adalah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad (saw).

Dengan ini semua orang yang berada di bawah kepemimpinan orang-orang yang sedemikian itu teradun ke dalam sebuah masyarakat yang dipanggil masyarakat Islam. Inilah prinsip yang membezakannya dengan masyarakat yang diasaskan atas dasar bangsa, warna kulit atau wilayah. Masyarakat Islam adalah terbina daripada individu yang dengan sukarelanya menerima ideologi Islam sebagai kontrak dengan Pencipta.
Orang-orang yang masuk ke dalam kontrak ini, berjanji untuk mengiktiraf Allah sebagai yang berdaulat mereka, hidayah-Nya sebagai Yang Maha Esa, dan ajaran-Nya sebagai Undang-undang mutlak. Mereka juga bersetuju menerimanya, tanpa soal atau keraguan klasifikasi-Nya yang baik dan yang jahat, betul dan salah, yang dibenarkan dan yang dilarang. Pendek kata, masyarakat Islam bersetuju untuk menghadkan kerelaan setakat mana yang ditetapkan oleh Allah yang Maha Mengetahui. Dalam erti kata lain, adalah Tuhan, dan bukan manusia yang menyediakan sumber (utama) undang-undang dalam masyarakat Muslim.
Jadi, al-Quran dan Hadis Rasulullah itu adalah kod kehidupan yang dipanggil syariat itu. Mengikut kontrak itu tadi, masyarakat terikat mematuhinya seperti yang telah dimeterai. Dengan demikian tidak bolehlah mana-mana masyarakat Islam yang dengan sengaja menerima pakai sistem hidup yang lain daripada syariat. Jadi, menerima satu sistem lain yang bukan bersumberkan undang-undang syariat adalah dianggap pecah kontrak, dan masyarakat sedemikian menjadi bukan Islam.
Tetapi kita mesti faham juga dengan sebenar-benarnya perbezaan antara konsep dosa dengan protes yang sengaja terhadap syariat: dosa tidak boleh dianggap memecahkan kontrak, berbeza dengan yang kedua itu.  Justeru, fakta yang perlu difahami ialah, jika masyarakat Islam secara sedar memutuskan untuk tidak menerima syariat, dan memutuskan untuk menggubal perlembagaan sendiri atau meminjam dari mana-mana sumber lain (tanpa mempedulikan Syariah) itulah masyarakat yang pecah kontrak dengan Tuhan, masyarakat yang terlucut statusnya sebagai Islam.
Kerrana itu mari kita fahami rencana kehidupan yang dibayangkan oleh syariat. Kita mulakan dengan konsep yang jelas tentang objektif dan asas-asas Syariah.
Objektif utama syariat adalah untuk membina kehidupan manusia atas dasar Ma'rufat (kebaikan) dan menyucikannya daripada Munkarat (kejahatan).
Ma'rufat ialah semua yang baik dan benar di sisi Allah dan oleh Rasul-Nya. Jika definisi ini sebagai norma, maka istilah Ma'rufat adalah mewakili semua kebaikan dan kualiti yang baik-baik yang sentiasa diterima  sebagai baik oleh naluri manusia yang suci dan tidak tercemar. Sebaliknya, perkataan Munkarat merujuk kepada semua yang Allah dan Rasul-Nya labelkan sebagai jahat. Dengan mengambil kod ini, bererti segala dosa dan kejahatan yang dikutuk oleh naluri manusia tulen sebagai jahat.
Jadi, Ma'rufat adalah segala perkara yang berada dalam keadaan harmoni dengan alam semula jadi manusia dan keperluannya secara umum, manakala munkarat adalah sebaliknya. Syariat menggunakan takrif ini untuk menyatakan bahawa Ma'rufat dan Munkarat adalah norma-norma yang individu dan tingkah laku sosialnya perlu akur.
Bagaimanapun syariat tidak menghadkan fungsi Ma'rufat dan Munkarat dengan senarai terperinci kemuliaan dan maksiat sahaja; syariat menggariskan keseluruhan rancangan hidup yang dapat memberi ruang supaya kebaikan boleh berkembang dan menutup ruang kebobrokan supaya tidak berpeluang mencemarkan dan memusnahkan kehidupan manusia.
Untuk mencapai tujuan ini, syariat sedia mengadaptasi semua faktor yang menggalakkan pertumbuhan yang baik-baik sambilan itu mengesyorkan jalan penyingkiran terhadap halangan-halangan yang mungkin merencatkan pertumbuhan dan perkembangannya. Proses ini membawa idea melahirkan siri anak syarikat Ma'rufat yang terdiri daripada punca-puncanya dan cara melaksana serta menggalakkan penggunaan yang baik-baik. Dan satu lagi set Ma'rufat ialah yang terdiri daripada larangan strategik yang berhubung dengan perkara-perkara yang bertindak sebagai halangan kepada pengembangan yang baik-baik itu tadi, termasuk di dalamnya iaitu senarai anak syarikat Munkarat yang bentuknya menubuhkan atau membenarkan pertumbuhan kebobrokan.
Syari'at membentuk masyarakat Islam dengan cara yang kondusif bagi pertumbuhan, tidak terhad dalam kebaikan dan kebenaran dalam setiap bidang aktiviti manusia sahaja, tetapi Syariat juga membuka jalan kepada kuasa-kuasa ke semua arah: membuang semua halangan di jalan-jalan kebaikan. Serentak dengan ini syariat cuba untuk membasmi kejahatan dari pelan sosialnya dengan melarang maksiat, dengan meng-hindarkan punca penampilan dan pertumbuhannya, dengan menutup bibit-bibit di mana ia merayap ke dalam masyarakat dan dengan meng-amalkan langkah-langkah pencegahan untuk memeriksa kejadiannya.
Untuk ini semua setiap orang Islam harus mempunyai kefahaman yang betul tentang empat sturktur Islam. Penjelasan di atas ini tadi menggambarkan bahawa syariat adalah asas kepada gagasan yang telah dijelaskan itu. Kelihatannya syariatlah yang menjadi fokus dalam rancangan menjaga kehidupan. Jelas sekali kelihatannya bahawa fokus utama Islam adalah syariat.
Syariat yang dikehendaki Islam adalah yang berjalan dalam situasi keamanan, kesejahteraan dan kepuasan. Faktor yang menjaminnya ialah akhlak. Akhlak yang baik akan mewujudkan situasi-situasi itu. Justeru ibadah-ibadah yang empat itu tadi harus dijadikan asas dan tonggak menbina akhlak. Kerana inilah para ulama’ menyatakan keempat-empat bidang itu tadi haruslah dalam bentuknya aqidah yang dibuktikan dengan ibadah, ibadah yang melahirkan akhlak, dan akhlak yang dijadikan syariat. Syariat ialah cara hidup atau way of life.
Syariat yang mantap adalah yang berteraskan kepada aqidah. Jadi syariat menghendaki kehidupan ini sentiasa tertambat kepada aqidah, yang prinsipnya ialah penyerahan diri yang total kepada kehendak Allah.
Aqidah menghendaki kita yakin akan kewujudan Allah swt, lalu mentawhidkan-Nya (mengakui bahawa Allah swt adalah satu-satunya Tuhan, tiada yang lain lagi.
Aqidah yang sempurna adalah yang dibuktikan dengan menunaikan ibadah, iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Namun, setakat beraqidah dan beribadah sahaja, keimanan kita belum sempurna. Bagi menyempurnakan keimanannya, Islam menghendaki kita melakukan seterusnya iaitu menterjemahkan ibadah-ibadah itu menjadi akhlak, dan seterusnya akhlaknya itu dijadikan syariat atau cara hidupnya.
Jadi kelihatannya ibadah yang empat ini adalah sebagai proses ke arah melahirkan akhlak, yang memandu jalan hidup (syariat). Jadi keimanan yang total adalah yang mencakupi keempat-empat bidang tersebut itu tadi, iaitu aqidah, ibadah, akhlak dan syariat.
Jadi, tidak bolehlah seseorang Islam itu hanya mengaku dirinya Islam, orang beriman, tetapi setakat menunaikan ibadah-ibadah yang empat itu sahaja, meninggalkan yang dua lagi iaitu akhlak dan syariat.
Tidak dinafikan fenomena menunjukkan keadaan ini. Lihat sahaja kejadian yang berlaku di sekeliling kita saban hari. Ada golongan yang kuat beribadah tetapi tidak mengambil berat akan akhlaknya, manakala yang sebahagian lagi pula baik akhlak dan syariatnya tetapi tidak menjaga ibadahnya mengikut kewajarannya.
Pentingkah akhlak? Hal ini telah dibentangkan di atas tadi. Lagipun, bukankah kita sering mendengar kenyataan yang menyebut Nabi saw diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan akhlak, dan sering diberitahu bahawa sebahagian besar kandungn al-Quran adalah berkaitan akhlak.
Ada sebuah hadis menyebut, Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerja-kannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama As-salam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah jua aku memberi balasan (Mustika Hadis Jilid I, 42).
Ringkasnya bermaksud bahawa sembahyang, sedekah, puasa dan amal-amal yang lain itu belum cukup untuk menolong pengamalnya mendapatkan syafaat syurga, kecuali Islamnya. Dengan kata lain Allah tidak menerima ibadah-ibadah yang untuk membuktikan keimanan sahaja.
Belum cukup itu bermaksud sembahyangnya, sedekahnya, puasanya dan amal-amal yang lain itu belum dijadikan sebagai akhlak untuk jalan hidupnya. Dengan kata lain amal-amalnya itu tadi adalah untuk dirinya sendiri, tidak berkait dengan orang lain.
Perkataan Islam dalam hadis itu merujuk kepada cara hidup. Hal ini disebut oleh ayat 85 ali-Imran. Ayat ini menyatakan bahawa agama ialah jalan hidup, iaitu jalan hidup yang disyariatkan Allah. Jadi jelas bahawa destinasi ibadah kita ialah akhlak dan syariat.
Inilah sebabnya ada kenyataan yang menyebut bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi secara yang sangat ketara, tidak juga membenarkan konflik antara keduanya, dan tidak juga membuat batasan memisahkan antara kerohanian dengan kehidupan moral manusia. Daerah kekuasaan Islam meliputi kepel-bagaian macam, rupa dan emosi kehidupan.
4 Tonggak Islam
Setelah memahami kedudukan ini, bagaimanakah caranya hendak merealisasikan cita-cita Islam yang dibentangkan di atas ini. Inilah satu-satunya masalah yang kita hadapi, akibat daripada perkara ini sangat jarang disentuh dalam pengajaran fiqh kita.
Allah hanya mewajibkan seseorang Islam itu menunaikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan mengerjakan ibadah haji jika mampu. Bagaimanakah caranya hendak menggunakan ibadah-ibadah ini menunaikan tuntutan-tuntutan di atas tadi.


Bagaimanakah caranya hendak menggunakan ibadah yang empat ini untuk membuktikan bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi, tidak konflik antara keduanya itu, Islam tidak memisahkan antara kerohanian dengan kehidupan. Juga, bagaimana hendak membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mengisi setiap sudut dan ruang kehidupan meliputi kepelbagaian macam, rupa dan emosi kehidupan.
Dan, bagaimana caranya hendak membuktikan bahawa dengan empat ibadah itu juga mampu membentuk kehidupan individu yang susunan sosialnya dalam corak yang sihat sejahtera, membina iklim kehidupan yang polanya adalah keamanan, kepuasan dan kesejahteraan.
Sasarannya pula bukan manusia sahaja tetapi mencakupi persekitaran kehidupan manusia itu sendiri: membina keamanan, kepuasan dan kesejahteraan untuk makhluk-makhluk selain manusia, sama ada yang hidup atau yang tidak hidup, kerana pola-pola kehidupan itu tadi juga memerlukan makhluk-makhluk ini. Allah menetapkannya sedemikian.
Kesemua tuntutan itu tadi sangat memerlukan sistem moral, sistem sosial, sistem alam sekitar dan pelbagai lagi. Bagaimanakah caranya sembahyang, zakat, puasa dan haji itu hendak digunakan bagi mereali-sasikannya.
Yang jelas, Allah swt mempertaruhkan keempat-empat ibadah itu tadi sebagai asas dan tonggaknya, Allah swt mengharapkan empat ibadah itu dijadikan asas dan tonggak kepada pembentukan satu sistem kehidupan yang mencakupi bidang-bidang moral, sosial, politik, budaya, ekonomi Islam dan lain-lain.
Jadi, buku RUKUN ISLAM Asas dan Tonggak Way of Life cuba untuk menggariskan caranya hendak merealisasi-kan cita-cita di atas ini. Semoga, tujuan dan kebaikan dari ibadah-ibadah kita menjadi realiti.

No comments:

Post a Comment