Zakat


Terdapat sebanyak 27 ayat al-Quran yang menggandingkan ibadah sembahyang dengan zakat. Antaranya ialah ayat 3, 43, 83, 110, 177, 277 al-Baqarah, ayat 77, 162 an-Nisa’, ayat 12, 55 al-Maidah, ayat 3 al-Anfal, ayat 5, 11, 18, 54, 71 at-Tawbah, ayat 22 ar-Ra’d, ayat 31 Ibrahim.
Justeru saya meletakkan Zakat sebagai Rukun Islam yang kedua. Jadi selepas membincangkan sembahhyang, buku ini meletakkan zakat menyusul mendahului puasa dan haji.
 Ibadah sembahyang lebih menjurus kepada soal ketawhidan. Maka apabila Allah menyeru agar manusia mengambil berat tentang kemanusiaan, ibadah zakat adalah asasnya kerana jelas ibadah ini adalah lambang kepedulian buat manusia.

Kerana inilah kita dapati ada ayat-ayat yang menggandingkan ibadah sembahyang dengan zakat dalam satu ayat. Misalnya yang biasa kita dengar ayat 43 al-Baqarah  yang maksudnya Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. Dan satu lagi ialah ayat yang ertinya Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Ini membayangkan bahawa darjat kepentingan ibadah zakat adalah sama dengan sembahyang berbanding dengan ibadah puasa dan haji. Kepentingan kedua-duanya adalah lebih asas daripada puasa dan haji.

Jadi implikasinya, seseorang yang tidak menunaikan zakat adalah dikira sebagai seorang yang meruntuhkan agama juga seperti mana orang yang tidak mendirikan sembahyang. Dengan kata lain, rasa tanggungjawab terhadap ibadah zakat itu harus dirasai sama dengan rasa tanggungjawabnya terhadap sembahyang, dan pelaksanaan kedua-dua ibadah itu juga harus seimbang (wasatiyah). 

 Justeru, seseorang Islam harus melihat mesej ayat-ayat yang menggandingkan sembahyang dengan zakat itu sebagai prinsip kehidupannya, melaksanakan konsep hablum minallah dan hablum minannas dengan seimbang, tidak melebihkan yang satu daripada yang satu lagi itu.

Ayat 1-4 al-Mu’minun menyebut bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang menunaikan sembahyang dan menunaikan zakat. Ini bererti kegagalan menunaikan kedua-dua ibadah ini merupakan orang yang malang, orang yang meruntuhkan agama, dan hidupnya jauh dari-pada keredaan Allah swt. Hal ini disebut oleh ayat 277 al-Baqarah yang menyebut, Sesungguhnya orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Orang yang berjaya bermaksud masuk syurga. Jadi ayat 277 ini menggambarkan orang-orang yang dimaksudkan.
Zakat adalah ibadah yang menghubungkan seorang manusia dengan manusia lain berasaskan sikap rasa kepedulian.
Kenali diri sendiri
Manusia adalah makhluk yang dianugerahi dengan kuasa meneroka sumber-sumber alam untuk kepentingan dan citarasanya. Bersamanya Allah anugerahi juga kuasa berfikir dan mempunyai perasaan. Dengan perasaannya terbitlah nilai-nilai saling mengerti dan tolak ansur dan rasa ingin tahu. Nilai-nilai murni dalamannya itulah yang mendorong-nya cuba meniru sifat murahati Allah dan bekerjasama dengan rakan-rakannya. Ini menggambarkan dalam diri manusia ada sifat-sifat Ilahi.
Hal ini dibayangkan oleh ayat 50 surah Taha yang menyebut, Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya cara menggunakannya. Ayat 70 al-Isra’ pula mengesahkan kedudukan ini, yang menyebut serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya. Kerana itu Allah swt mengingatkan (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya (al-Mulk, 15). Allah sengaja menganugerah-kan kelebihan yang banyak kepada manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain.
Manifestasi dari kelebihan-kelebihan itu menjadikan manusia sebagai makhluk yang bukan hanya memerlukan keperluan asas seperti tumbuhan, tetapi sebagai makhluk yang mampu diminta kerjasama. Ayat 63-73 al-Waqiah mengingatkan agar manusia merenung semula kepada kejadian tumbuhan yang ditanamnya, dan air yang diminumnya. Allah mempersoalkan siapakah yang mengizinkan tumbuhan itu tumbuh subur dan siapakah yang menyediakan air untuk diminum. Peringatan ini hendak menggambarkan kekuasaan Allah melalui ciptaan-ciptaan seperti air, api dan tumbuhan untuk keperluan manusia dan sekalian makhluk, lalu mengingatkan agar manusia mensyukuri nikmat-nikmat-Nya itu dalam bentuk kerjasama dan bergaul.
Manusia dianugerahi juga dengan naluri mengkagumi kecantikan dan kehalusan pekerti, malah naluri ingin terus maju. Hal ini telah digambarkan oleh Endang Saifuddin bahawa manusia mempunyai tujuh kemampuan, antaranya kemampuan mengenali hal-hal umum, yang tidak diberikan kepada haiwan dan tumbuhan.
Allah juga menganugerahi manusia dengan naluri kerjasama dengan rakan-rakan, dan mengambil berat keperluan antara satu sama lain bagi mengekalkan keimarahan bumi dengan menggunakan semangat-nya untuk kebaikan bersama. Naluri ini dikekalkan sampai bila-bila agar dengannya manusia mempunyai aspirasi melibatkan diri, dinamik mengikut tahap kemampuannya.
Kita juga sudah tahu bahawa Allah juga menganugerahi manusia dengan hidayah-hidayah yang tidak diberikan kepada makhluk lain, antaranya ialah hidayah akal budi. Atas perbezaan inilah kehidupannya menagih dinamika dan kepesonaan.
Dengan kelebihan-kelebihan inilah maka ayat 1-4, surah Quraisy, menyeru manusia agar mencontohi sifat Ilahi iaitu memberi mereka penghidupan (menyelamatkan mereka dari kelaparan dan ketakutan). Kita sendiri sedar betapa setiap kali melihat orang susah tidak kecukupan keperluan hidup rasa terpanggil bersimpati. Ini adalah didorong oleh naluri semulajadi anugerah Allah swt. Seruan ini sejajar dengan ayat 3 al-Fatihah, iaitu ayat yang menyatakan tentang sifat ar-Rahman Allah swt.
Nabi saw juga menekankan betapa manusia tidak boleh hidup menyendiri. Hal ini disebut dalam satu riwayat yang menyebut bahawa pernah seorang hamba Allah mengutarakan hasratnya untuk tinggal di suatu lembah hijau dingin yang menawan, menyendiri, jauh dari gangguan orang lain, tidak pula mengganggu orang lain, tetapi Nabi saw melarangnya. Keputusan Nabi saw ini bertepatan dengan ayat dalam surah Quraisy itu tadi. Sedar atau tidak dalam banyak hal, hakikatnya orang kaya sekalipun masih bergantung kepada orang miskin, memerlukan bantuan tenaga dan sebagainya.
Riwayat ini mendedahkan hakikat bahawa manusia tidak mampu untuk berdikari tanpa bantuan orang lain. Ayat 27 ar-Rum menyebut hanya Allah yang mempunyai sifat tertinggi di langit dan di bumi, dan Dialah juga Yang Maha Berkuasa. Ayat ini mendedahkan bahawa manusia itu serba lemah, hanya Dialah yang Maha Sempurna.
Pembentangan di atas ini menggambarkan peranan dan fungsi zakat. Ketahui juga konsep kepunyaan harta di sisi Allah semoga kita menjadi seorang hamba yang tunduk patuh kepada-Nya.
Ketahuilah bahawa harta dalam tangan bukanlah milik kita secara mutlak tetapi di dalamnya mengandungi bahagian hak orang miskin. Kerana inilah disebutkan bahawa kekayaan adalah suatu amanah. Lalu zakat adalah satu-satunya cara kita melaksanakan amanah ini. Ketahuilah apakah asas idea zakat, dan seterusnya pengertian zakat yang lebih tepat.
Fungsi zakat sebenarnya bukan sekadar yang kita fikirkan tetapi adalah lebih dari itu.  Disebutkan bahawa antaranya adalah bagi melepaskan orang miskin dari belenggu kemiskina, bukan setakat menyantuni mereka. Apakah maksud melepaskan itu?
Untuk menyantuni mereka, cukuplah sekadar menghulur sejumlah wang tunai kepada golongan sasar. Mengikut konsep yang sebenar ini harus ditukar kepada program memberi bantuan bagi melepaskan mereka dari keadaan kemiskinan. Konsep ini telah dijalankan pada zaman Saidina Omar: diriwayatkan pada zaman pemerintahannya sehingga tidak ada lagi golongan miskin.
Zakat juga bererti berkembang, yang bermaksud bahawa wang zakat harus dibelanjakan dan dilaborkan.
Wang zakat yang dibelanjakan akan merancakkan lagi edaran wang dalam kalangan masyarakat. Aktiviti ini adalah faktor yang merancakkan pertumbuhan ekonomi yang sihat bagi sesebuah masyarakat atau negara. Apabila wang dari pusat pungutan zakat diberikan kepada golongan sasaran bererti berlaku perpindahan wang dari pusat pungutan zakat kepada satu pihak kepada pihak lain iaitu golongan miskin. Perpindahan yang seterusnya misalnya dari golongan miskin kepada golongan peniaga, dan dari peniaga kepada kegiatan ekonomi yang lain, dan seterusnya, dari sudut ekonomi sesebuah negara sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
Dengan kata lain wang zakat tidak harus disimpan-beku. Islam melarang, sebaliknya menghendaki pemegang wang dan harta melaborkannya. Keuntungan dari pelaboran ini bererti wang zakat berkembang, dan kuasa wang zakat menjadi lebih luas, mencakupi golongan sasar seperti golongan kafir miskin.
Inilah sebabnya disarankan agar agensi pungutan zakat diangkat menjadi sepertimana agensi perbankan, pastinya perbankan yang bebas faedah.
Kesemua ini dan banyak lagi terlakar dalam buku Rukun Islam Asas dan Tonggak Way of Life, terbitan Karisma Publishing.

No comments:

Post a Comment