Wednesday, December 31, 2014

Daulat Tuanku

Tidak dinafikan ramai antara kita yang melihat istilah Rukun Islam sebagai amalan yang cukup jika didirikan zatnya sahaja; bermaksud misalnya sembahyang, hanya dilihat sebagai amalan mendirikannya dengan menyempurnakan rukun-rukunnya yang tiga belas itu. Selepas salam tiada apa-apa lagi yang harus dilakukan, tiada kaitannya dengan soal-soal kehidupan. Begitu juga yang terjadi kepada ibadah zakat, puasa dan haji itu.
Apabila disebut Rukun Negara sebenarnya berapa ramai yang memahami konsepnya dan peranannya dalam kehidupan sebagai seorang warga bagi sesebuah negara itu. Istilah itu dilihat hanya sekadar slogan yang harus dihafal semata-mata. Akibatnya semangatnya dan matlamatnya tidak ke mana - slogan itu hanya tinggal slogan yang kosong tidak memberi sebarang erti. Begitulah juga apa yang terjadi kepada Rukun Islam. 
Buktinya, sembahyang itu tidak memberi kesan terhadap diri pengamalnya, yang sepatutnya semangat ibadah sembahyang itu adalah yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian kita. Jadi istilah Rukun Islam yang sepatutnya menjadi tonggak kehidupan, tidak menjadi realiti.
Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang kelihatannya sebagai kaki sembahyang, apakah kesan daripada rukun feeli berdiri dalam sembahyang, tidak lain selain untuk menjadikan ibadah sembahyangnya sah sahaja.
Dalam Kamus Dewan rukun diberi makna dasar, tiang, asas, sendi. Jika disebut rukun Islam diberi makna dasar atau tiang agama Islam. Jadi jika Islam itu dilihat sebagai agama maka asasnya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji itu.
Islam adalah jalan hidup, dengan kata lain jika Allah swt menghendaki kita memeluk agama Islam bermaksud bahawa kita harus menjalani hidup di dunia ini mengikut peraturan dan etika Islam, yang asasnya atau dasarnya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, yang kita panggil rukun Islam itu. Jadi rukun Islam itu iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah asas untuk membina peraturan dan etika hidup kita. Jadi peraturan dan etika untuk aktiviti-aktiviti seperti gaya hidup, berpolitik, berniaga, bermasyarakat, bersukan, lalulintas, bersantai dan sebagainya harus dibina berdasarkan kepada sembahyang, zakat, puasa dan haji. Inilah konsep Rukun Islam.
Jadi tidaklah betul jika ibadah-ibadah yang empat itu hanya sekadar didirikan zatnya sahaja - ibadah-ibadah itu harus menjadi tonggak kehidupan seharian. 

No comments:

Post a Comment