Monday, July 29, 2019

Gagasan Islam


Ciri utama Gagasan Hidup Islam adalah bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi secara yang sangat ketara, tidak juga membenarkan konflik, dan tidak juga membuat batasan pemisah antara menulenkan rohani dan kehidupan moral manusia. Daerah kekuasaan Islam meliputi kepelbagaian macam, rupa dan emosi kehidupan. Syumul.
Islam mahu membentuk kehidupan individu dan kelompoknya yang susunan sosialnya dalam corak yang sihat sejahtera. Jadi cita-cita Islam ialah membina iklim kehidupan yang polanya adalah keamanan, kepuasan dan kesejahteraan. Sasarannya bukan sahaja manusia tetapi mencakupi juga persekitaran kehidupan manusia itu sendiri.
Alasannya ialah bahawa kesejahteraan manusia bergantung kepada persekitarannya. Allah yang mengaturkan demikian. Allah mengaturkan supaya kehidupan di dunia ini berada dalam situasi saling bergantung antara satu sama lain. Justeru keamaman, kepuasan, dan kesejahteraan itu tadi harus dibina untuk kedua-dua-nya iaitu manusia dan sekalian makhluk selain manusia. Sejak kelahiran Adam lagi Allah telah mengaturkannya sedemikian.
Jadi, jika Islam hendak menciptakan iklim kehidupan yang sejahtera buat manusia, kesejahteraan buat sekalian makhluk itu tadi harus diujudkan sekali gus. Jika tidak sistem yang Allah telah tetapkan itu tadi akan cacat, rosak dan sistem itu dengan sendirinya akan tempang, akibatnya, dengan sendirinya iklim kesejahteraan untuk manusia juga tidak sempurna. Apalah ertinya kehidupan jika tidak ada air atau ada air yang tercemar, udara yang kurang sihat, sumber-sumber kehidupan dan kekayaan yang tidak mencukupi. Dapatkah iklim kehidupan yang sejahtera dibina atas sumber-sumber yang ada ini tetapi dalam keadaan tidak seimbang dan stabil.
Jadi, dalam sistem kehidupan manusia amat memerlukan sistem moral, sistem sosial, dan pelbagai lagi yang keadaannya sihat sejahtera, aman dan penuh kepuasan. Inilah teras kepada pembentukan satu sistem kehidupan mengikut Islam. Justeru setiap kali hendak bercakap tentang sistem moral, sosial, politik, budaya dan ekonomi Islam, adalah sangat perlu mempunyai idea yang jelas tentang konsep kehidupan Islam ini. Untuk ini, mengikut Islam terdapat kefahaman asas tertentu yang perlu difahami dan dihargai dari peringkat awal lagi.

Kefahaman  asas
 Allah yang Maha Pencipta, Raja dan Tuhan seluruh alam semesta telah mencipta manusia dan menyediakan stesen sementara yang dikenali sebagai bumi. Dia telah mengurniakan manusia dengan pemikiran dan pemahaman, dan telah memberi-kan naluri yang dapat membezakan antara yang betul dengan yang salah. Manusia juga telah diberikan kebebasan kehendak dan memilih, dan kuasa untuk menggunakan sumber-sumber dunia dalam apa-apa cara sekalipun yang dia suka. Pendek kata, manusia telah diberikan satu bentuk autonomi, di samping dilantik oleh Allah di bumi sebagai pengganti kepada makhluk-makhluk yang menjadi penduduk bumi sebelum ini.
Sebelum mewariskan bumi kepada manusia, Allah menjelas-kan bahawa Dia sahaja Tuhan, Raja dan Dewa. Oleh itu, seluruh alam semesta dan semua makhluk di dalamnya, termasuk manusia, perlu tunduk patuh hanya kepada-Nya. Manusia tidak boleh meng-anggap dirinya benar-benar bebas secara mutlak, tetapi perlu tahu bahawa bumi ini bukan tempat tinggal yang tetap. Manusia hanya hidup di atasnya bagi satu tempoh percubaan, dan apabila sampai masanya dia akan kembali kepada Tuhannya, untuk dihakimi sepadan dengan cara mereka menggunakan tempoh masa percubaan itu. Dalam tempoh masa itu, satu-satunya kerja kursus untuk manusia ialah mengakui Allah sebagai satu-satunya Tuhan, Pemelihara dan Dewa, dan mengikuti petunjuk dan Perintah-Nya sepanjang perjalanan hidupnya.
Manusia harus menjalani kehidupan dengan kesedaran bahawa ia akan dihakimi, justeru satu-satunya objektif hidup manusia ialah meraih keredaan Allah supaya berjaya dengan cemerlang dalam ujian akhirnya. Kelakuan yang bertentangan dengan ini akan membawa manusia sesat melampaui batas.
Apabila seseorang mengambil jalan kesolehan dan tunduk patuh (sedangkan dia mempunyai kebebasan memilih) dia akan berjaya di dunia dan di akhirat: di dunia ini dia akan menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera, manakala di akhirat dia akan layak untuk menjadi penghuni syurga al-Jannah, satu tempat yang lebih kekal lama dan kebahagiaan yang lebih baik lagi. Jika memilih untuk mengikuti jalan yang lain, iaitu kefasikan dan kejahatan, ia akan mengalami kerosakan akhlak, gangguan dan kekecewaan di dunia, dan ia akan menerima musibah dalam kehidupan di dunia, dan yang akan datang iaitu di akhirat yang tinggal adalah kesakitan dan kesengsaraan yang dipanggil Jahannam (neraka).
Selepas memberi amaran, Allah meletakkan manusia di bumi dengan menurunkan manusia yang pertama (Adam dan Hawa) dengan membawa hidayah petunjuk-Nya sesuai dengan kehidupan di bumi. Oleh itu, kehidupan manusia di muka bumi ini tidak bermula dalam gelap-gelita teraba-raba. Adam dan Hawa telah disediakan dengan obor dan petunjuk supaya nilai keinsanannya di bumi mampu mencapai kegemilangannya.
Orang yang pertama ini menerima wahyu secara langsung dari Tuhan-nya. Dia mempunyai pengetahuan tentang realiti kehidupan, dan diberi kod kehidupan dengan mengikuti jalan kehidupan yang penuh nikmat dan kejayaan, kod hidup itu ialah Islam, yang sifat uniknya ialah penyerahan dan tunduk patuh yang total kepada Allah, Pencipta manusia dan seluruh alam semesta. Inilah agama yang Adam turunkan kepada generasinya yang mendatang.
Tetapi kemudian generasinya beransur-ansur menjauhkan diri dari jalan yang benar dan mencari jalan hidup yang lain. Disebab-kan kecuaian, mereka kehilangan ajaran yang asli. Mereka menye-ngutukan Allah dengan manusia kebanyakan, dengan objek bukan manusia dan dengan unsur-unsur khayalan sebagai dewa-dewa, serta terlibat dalam syirik (polytheism) jenis yang paling teruk. Mereka campur ajaran tulen Tuhan dengan mitos aneh, idea-idea dan falsafah, dan dengan itu lahirlah lambakan pelbagai agama dan pemujaan. Mereka buang prinsip-prinsip syariat, etika sosial dan moral yang Tuhan beri. Akibatnya terlucutlah keamanan dan ketenangan hidup.
Walaupun mereka sudah melencong dari jalan kebenaran, mengubah dan memutarbelitkan syariat, dan sesetengahnya memprotes kod Bimbingan Ilahi, tetapi Allah tidak memusnahkan mereka atau memaksa mereka kembali ke pangkal jalan. Dengan kuasa yang ada, Allah tidak pula memaksa mereka kembali ke jalan yang benar. Sebaliknya, Allah melantik orang-orang mulia tertentu dari kalangan manusia bagi menunaikan tanggungjawab memanggil dan membimbing semula manusia-manusia itu ke jalan yang benar.
Orang-orang mulia ini adalah mereka yang percaya kepada Allah, dan menjalani kehidupan yang taat setia dan tunduk patuh kepada-Nya. Mereka ini diberi penghormatan dengan memberikan mereka ayat-ayat-Nya dan pengetahuan kebenaran. Mereka yang dikenali sebagai nabi saw, telah ditugaskan untuk menyampaikan mesej kebenaran kepada manusia dan meminta mereka kembali ke jalan Allah.
Nabi-nabi telah diutus pada setiap zaman, setiap negeri dan bangsa. Daripada banyak nabi-nabi yang diutus oleh Allah, al-Quran menyebut yang dua puluh lima sahaja. Kesemua mereka membawa mesej yang sama, kesemua mereka ini menyokong cara hidup yang sama (Deen) iaitu, cara yang diturunkan kepada Adam pada hari pertama kewujudannya. Kesemua mereka membawa hidayah yang sama iaitu panduan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Kesemua mereka berdiri teguh membawa misi yang sama: mereka menyeru kepada agama Islam, meminta mereka menerima petunjuk Ilahi dan hidup mengikuti misinya, dan menganjurkan mereka supaya bersama dalam gerakan menubuhkan Undang-undang Ilahi, dan menghentikan semua penyelewengan. Setiap nabi cuba untuk memenuhi misi ini dengan cara yang sebaik mungkin. Namun tidak kurang jumlahnya antara golongan manusia yang enggan menerima penunjuk ini, namun ramai juga yang menerimanya tetapi beransur-ansur hanyut sesat, dan selepas satu tempoh masa mereka ini kehilangan bimbingan dan mengikuti jalan hidup yang telah diputarbalikan melalui inovasi dan manipulasi.
Akhirnya, Allah telah membangkitkan Nabi Muhammad saw di tanah Arab, dan diberikan kepada baginda misi yang lengkap merangkumi misi para nabi yang terdahulu. Mesej Muhammad saw adalah untuk seluruh umat manusia. Bermulalah satu era baru di mana tidak ada lagi nabi khusus bagi bangsa-bangsa tertentu.
Baginda membentangkan semula ajaran Islam yang murni. Baginda menyediakan semula Panduan Ilahi yang telah hilang ke dalam bentuk asalnya. Baginda menganjurkan supaya semua orang menerima mesejnya supaya bersama di bawah satu panji-panji ummah (bangsa), dan membina semula kehidupan mengikut ajaran Islam dengan menyeru mereka ke jalan kebenaran, dengan mewujudkan fahaman bahawa ketuanan hanya untuk Allah di bumi. Panduan ini termaktub dalam al-Quran sebagai kod tataetika untuk semua manusia.

No comments:

Post a Comment