Di Malaysia, fenomena
menunjukkan kebanyakan orang Islam tidak mempunyai kefahaman yang tepat tentang
Islam. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan mereka melihat Islam adalah agama
yang mengajak penganutnya mendirikan sembahyang dan puasa, dan bagi orang yang
berada mesti membayar zakat dan menunaikan haji, itu sahaja. Bukti ini
diperkuat lagi dengan konten ceramah-ceramah yang kita dengar melalui media
elektronik mahupun di masjid-masjid dan surau-surau yang biasanya lebih
tertumpu kepada sah atau batal, yang boleh dan tidak boleh, yang makruh dan
sunat, adab-adab dan sebagainya setiap kali mengajar ilmu fiqh.
Kesan dari keadaan ini
menyebabkan mereka hanya mendirikan sembahyang, dan selepas itu mereka rasa
tidak ada apa-apa lagi yang berkaitan dengan sembahyang, dan bila tiba bulan
Ramadan mereka akan berpuasa, cukup sebulan akan menyambut hari raya, dan
selepas itu sama juga keadaannya, mereka fikir tiada apa-apa lagi yang
berkaitan dengan puasanya. Begitu juga halnya bagi orang yang membayar zakat
(zakat fitrah dan zakat harta) setelah melunaskannya mereka rasa tidak adalah
lagi yang harus dilakukan berkaitan dengan zakatnya; bagi ibadah haji pula,
sekembalinya ke tanahair, sudah tidak ada apa-apa yang berkaitan dengan ibadah
hajinya.
Begitulah secara ringkas
gambaran tentang Islam bagi kebanyakan orang Islam di negara ini – mereka akan
merasa berpuas hati dengan amalan seperti yang digambarkan itu, maka itulah
yang diamalkan dari mula tarikh balighnya hingga ke usia tua; dan inilah yang
berlaku sejak sekian lama; tidak banyak perubahan yang ketara yang dapat
dilihat dari satu generasi ke generasi berikutnya. Ini menggambarkan
seolah-olah ada bahagian-bahagian fiqh yang ditinggalkan, saya katakan demikian
kerana Gamal Eldin Attia dalam bukunya ada menyebut,
‘Whoever
investigate the theme of maqasid will note that what
was written on this subject by scholars who came after al-Shatibi was limited
either to summarizig or rearranging what al-Shatibi had already formulated’.
(Towards Realization of The Higher Intents of Islamic Law, 1)
Bagi al-Shatibi,
fiqh kita
harus mencakupi tiga bidang iaitu satu, yang disebut oleh nas iaitu al-Quran dan
Hadis secara eksplisit, dua, ijma’ iaitu kefahaman para ulama’
iktibar mengenai sesuatu nas, dan tiga, qias iaitu menggunakan sesuatu hukum
kepada suatu keadaan yang sama situasinya. Bacalah buku tersebut di atas ini.
Bagi mereka tidak ada
istilah Islam sebagai jalan hidup
atau cara hidup. Lalu, cara hidupnya banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai
kebudayaan setempat, dan jika terlihat sedikit sebanyak nilai-nilai Islam di
dalamnya ianya bukanlah kerana kefahamannya bahawa itu adalah jalan hidup
Islam.
Kefahaman yang tidak tepat
tentang Islam itu menyebabkan mereka menjalani hidup mengikut nalurinya, kalau
adapun yang Islamik ianya adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Mereka tidak
nampak sama sekali bahawa ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji itu sebagai
satu proses pendidikan etika, akhlak dan keperibadian yang menjadi pedoman
hidup dalam melakukan aktivit hariannya.
Kefahaman yang tidak tepat
tentang Islam menyebabkan ramai orang melakukan ibadah yang dapat mengumpul
pahala sebanyak mungkin: mengerjakan haji dan umrah berkali-kali, melakukn
ibadah korban entah sudah berapa puluh kali, mendirikan sembahyang sebanyak dan
sebaik mungkin, tidak cukup dengan sembahyang yang lima waktu itu ditambah pula
dengan sembahyang-sembahyang yang dalam rangkaiannya seperti sembahyang
tahajud, sembahyang hajat, dan bermacam-macam lagi sembahyang; banyak duduk di
masjid atau surau sahaja, menghulur sedekah dan sedekah tanpa memikirkan apakah
betul apa yang dilakukannya kerana yang penting ialah mengumpul pahala.
Kefahaman yang tidak tepat
tentang Islam menyebabkan ramai orang tidak banyak melakukan ibadah-ibadah yang
umum yang berkaitan dengan manusia lain dan makhluk serta alam sekitarannya. Bagi
mereka kesemua ini adalah bukan urusannya. Justeru ibadah sembahyangnya tidak
menjadi pedoman dalam perjalanan hidupnya, semangat ibadah puasanya sudah tidak
kelihatan lagi, misalnya sudah tidak kelihatan lagi aktiviti memberi makanan
kepada jiran dan sebagainya, percakapan juga sudah tidak terkawal, begitu juga
zakat dan hajinya.
Wasatiyah
Kefahaman yang tepat
tentang Islam akan memperlihatkan sifat-sifat wasatiyah seseorang. Mengikut
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi wasatiyah bermaksud kesederhanaan. Kesederhanaan
selalunya menggambarkan pertengahan, tidak keterlaluan atau sebaliknya. Beliau menggunakannya
dengan maksud seimbang (tawazun): iaitu berada antara dua pihak atau keadaan
yang bercanggah atau bertentangan, tidak condong kepada salah satunya,
malah dijelaskan lebih lanjut katanya, Tidak
dikuasai oleh satu pihak lalu disingkirkan pihan yang berlawanan dengannya,
tidak mengambil dari satu pihak secara berlebihan lalu meminggirkan pihak yang
bertentangan dengannya. Untuk lebih jelas lagi beliau menyenaraikan
beberapa perkara dalam bentuk pasangan dua perkara yang bertentangan sebagai
contoh:
·
Ketuhanan dan kemanusiaan
·
Kerohanian dan kebendaan
·
Ukhrawi dan duniawi
·
Wahyu dan akal
·
Peninggalan silam dan masa hadapan
·
Individu dan masyarakat
·
Realiti dan keunggulan
·
Tsabat (tetap) dan
berubah
Jadi mengikut beliau,
orang yang wasatiyah (kesederhanaan) akan memberikan hak kepada setiap pihak
dengan sebenar-benarnya, penuh adil dan secukupnya, seperti yang disebut
sebagai qisth dalam ayat 35 surah
al-Isra’, dengan kata lain sebagai contoh dia akan melakukan amalan yang
berkait dengan soal-soal ketuhanan sama banyak dengan soal-soal kemanusiaan,
tidak melebihkan yang satu berbanding yang lain.
Orang-orang yang tidak
menyedari kedudukan wasatiyah menyebabkan amalan-amalan dalam kehidupannya
condong kepada sebelah pihak: lebih kepada ketuhanan, terkurang dalam hal-hal
kemanusiaan. Ini menyebabkan misalnya seorang isteri yang sudah berusia
menggunakan masanya untuk mengaji, mendirikan sembahyang sunat, mendengar
ceramah dan seumpamanya sehingga tanggungjawab terhadap suaminya terabai.
Fiqh
keutamaan
Membuat pertimbangan
merupakan satu kemahiran bagi setiap orang kerana setiap orang tidak boleh lari
dari membuat pertimbangan seperti yang mana patut didahulukan dan yang mana
patut dikemudiankan, dan dalam senarai tindakan pula perkara mana yang
sewajarnya diletakkan sebagai prioriti dan yang mana yang patut diletakkan pada
urutan terakhir. Persoalan ini adalah sangat penting kerana zaman sekarang
menunjukkan fenomena bahawa orang-orang Islam sudah kehilangan kemahiran
membuat pertimbangan.
Kata beliau, Bisyr al-Hafi
pernah mengatakan Kalau kaum muslimin
mahu memahami serta memiliki keimanan yang sebenar, dan mengetahui makna
kefahaman terhadap pekerjaan yang perlu diutamakan, maka dia akan merasakan
kebahagiaan yang lebih besar dan suasana keharmonian yang lebih kuat, setiap
kali dia dapat mengalihkan dana ibadah haji itu untuk memelihara anak-anak
yatim, memberi makan mereka yang kelaparan, memberi tempat perlindungan
orang-orang yang terlantar, mengubati mereka yang sakit, mendidik orang-orang
yang lemah bidang pelajarannya, atau memberi peluang pekerjaan kepada para
penganggur. (Fiqh Keutamaan, 19)
Petikan di atas ini hendak
menyatakan bahawa melakukan ibadah-ibadah umum seperti yang disenaraikan itu
lebih penting daripada menunaikan ibadah haji, yang bermaksud perlu
diutamakan.
Di bahagian lain buku yang
sama tercatat, Antara kefahaman terbaik
kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan
pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan, sehingga kita dapat
mewujudkan tujuan tersebut, dan tidak memaksa diri kita dan juga orang lain
untuk melakukan sesuatu yang tidak berkaitan dengan tujuan syariat.
Petikan ini bermaksud
bahawa mengambil tahu atau mempelajari tujuan beban kewajipan iaitu sembahyang,
zakat, puasa dan haji itu lebih utama dan patut didahulukan berbanding dengan
menyebokkan diri dengan perkara-perkara lain.
Demikian dua contoh yang
disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dalam bukunya Fiqh Keutamaan, beliau
membicarakan panjang lebar tentang memberi keutamaan jika kita bertemu dengan
dua perkara pada satu-satu masa; antara keadaan-keadaan lain yang dibicarakan
ialah membuat pertimbangan antara mengutamakan kualiti berbanding kuantiti,
keutamaan ilmu berbanding dengan amalan, keutamaan antara dua perkara yang
wajib, keutamaan terhadap dua perkara yang diperintahkan, dan lain-lain. Buku
ini bertujuan untuk membetulkan sikap kita yang dikatakan sudah kehilangan
kemahiran membuat pertimbangan.
Kefahaman yang tepat
tentang Islam akan dapat mengembalikan kemahiran kita dalam membuat
pertimbangan yang dimaksudkan itu supaya kita tidak melakukan sesuatu yang
kurang penting mendahului yang lebih penting. Kefahaman yang tidak tepat kepada
Islam akan membawa kepada gejala hilangnya pertimbangan dalam memberikan
penilaian terhadap sesuatu perkara, pemikiran dan perbuatan.
No comments:
Post a Comment